Tobit 12 BMDC

Malaikat Rafael

1 Sesudah pesta perkahwinan itu selesai, Tobit memanggil Tobias anaknya dan berkata kepadanya, “Nak, jangan lupa memberi upah kepada orang yang telah menghantar engkau, dan juga wang tambahan.”

2 Jawab Tobias, “Berapa yang harus saya berikan? Saya tak rugi sedikit pun kalau memberi dia separuh daripada segalanya yang telah saya bawa.

3 Dia sudah menghantar saya pulang dengan selamat dan membebaskan isteri saya daripada syaitan. Dia pula yang membawa wang itu pulang bersama saya dan akhirnya dia menyembuhkan ayah. Jadi berapakah banyaknya upah yang mesti saya berikan kepadanya?”

4 Jawab Tobit, “Berilah dia separuh daripada segalanya yang telah kaubawa pulang dengan pertolongannya. Upah itu berpatutan baginya.”

5 Lalu Tobias memanggil Rafael dan berkata kepadanya, “Terimalah sebagai upahmu separuh daripada segalanya yang kita bawa. Lalu engkau boleh pergi dengan selamat.”

6 Tetapi Rafael memanggil Tobit dan Tobias berdua sahaja, dan berkata kepada mereka, “Pujilah Allah, dan ceritakanlah segala kebaikan yang telah dilakukan-Nya bagimu kepada semua orang, supaya mereka pun memuji dan memuliakan-Nya. Beritakanlah perbuatan Allah sebagaimana layaknya kepada semua orang. Pujilah Dia dengan tiada henti-hentinya.

7 Memang baik menyimpan rahsia raja, tetapi perbuatan Allah harus diberitakan dan dipuji.Lakukanlah yang baik, maka kamu tidak akan ditimpa malapetaka.

8 Lebih baik berdoa dengan hati yang tulus dan memberi sedekah dengan ikhlas daripada memiliki harta yang banyak dengan cara yang tidak lurus. Lebih baik memberi sedekah daripada mengumpulkan emas.

9 Orang yang suka memberi sedekah dibebaskan daripada maut dan dihapuskan semua dosanya. Dia akan mendapat umur panjang.

10 Sebaliknya, orang yang jahat dan berdosa memusuhi dirinya sendiri.

11 Tadi saya katakan bahawa rahsia raja harus disimpan, tetapi perbuatan Allah harus diumumkan kepada semua orang. Sekarang saya katakan yang sebenarnya kepadamu dan tidak saya rahsiakan apa-apa.

12 Tobit, waktu engkau dan Sara memanjatkan doa kepada Tuhan, akulah yang membawa doa itu kepada hadirat-Nya yang mulia. Setiap kali engkau menguburkan orang mati, aku jugalah yang menyampaikan perbuatan baik itu kepada Tuhan.

13 Ketika engkau bangkit dari meja tanpa menyentuh makanan sedikit pun untuk menguburkan mayat itu, aku diutus Allah untuk mencubai engkau.

14 Begitu juga aku diutus-Nya untuk menyembuhkan engkau dan membebaskan Sara menantumu daripada kesusahannya.

15 Aku ini Rafael, satu daripada tujuh malaikat yang berdiri di hadapan Tuhan Yang Agung, siap untuk melayani-Nya.”

16 Lalu Tobit dan Tobias sujud di tanah dan gementar ketakutan.

17 Tetapi Rafael berkata kepada mereka, “Jangan takut! Damai sejahtera bagi kamu! Pujilah Allah selama-lamanya,

18 oleh sebab aku datang untuk menolong kamu atas kehendak Allah dan bukan kerana kerelaan aku sendiri. Maka nyanyikanlah pujian bagi Tuhan seumur hidup kamu.

19 Waktu kamu menyangka kamu melihat aku makan, aku sebetulnya tidak makan, hanya rupanya saja begitu.

20 Pujilah Allah selama hidup kamu di bumi ini, dan bersyukurlah kepada-Nya. Sekarang aku kembali kepada-Nya yang mengutus aku. Tulislah semuanya yang sudah kamu alami itu.”Lalu Rafael naik ke langit.

21 Ketika Tobit dan Tobias bangkit, mereka tidak dapat melihatnya lagi.

22 Lalu mereka menyanyikan lagu pujian bagi Allah dan bersyukur kepada-Nya kerana Dia telah melakukan perbuatan-perbuatan besar, oleh sebab malaikat Allah sudah menampakkan diri kepada mereka.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14