Tobit 6 BMDC

Tobias Menangkap Ikan

1 Lalu berangkatlah Tobias bersama malaikat. Anjing Tobias ikut bersama-sama mereka. Mereka berjalan terus sehingga waktu matahari terbenam, lalu bermalam dekat Sungai Tigris.

2 Tobias turun ke dalam sungai untuk mencuci kakinya. Tiba-tiba ikan yang besar melompat dari dalam air dan cuba menyambar kakinya. Dia pun berteriak,

3 lalu malaikat berseru kepadanya, “Tangkaplah ikan itu! Jangan lepaskan!”Tobias menangkapnya dan menyeretnya ke darat.

4 “Potonglah ikan itu,” kata malaikat. “Ambillah hempedu, jantung dan hatinya, dan simpanlah baik-baik, kerana itu ubat mujarab. Tapi isi perutnya harus kaubuang.”

5 Tobias memotong ikan itu. Sesudah hempedu, jantung dan hatinya dikeluarkan, ikan itu dipanggangnya. Sebahagian dimakannya, dan sebahagian lagi dimasinkannya untuk bekal.

6 Lalu mereka berdua meneruskan perjalanan mereka sehingga dekat negeri Media.

7 Tobias bertanya, “Azarya kawanku, penyakit apa yang dapat disembuhkan dengan hempedu, jantung dan hati ikan itu?”

8 Jawab malaikat, “Jantung dan hati ikan itu kalau dibakar, asapnya dapat mengusir syaitan atau roh jahat daripada orang yang kerasukan. Syaitan atau roh jahat akan pergi dengan segera, dan orang itu tak akan diganggu lagi untuk selama-lamanya.

9 Hempedu ikan itu ubat untuk orang yang matanya tertutup lapisan putih. Jika hempedu ikan itu disapu pada matanya lalu ditiup, maka lapisan akan hilang, dan orang itu sembuh.”

Perjalanan ke Ekbatana

10 Sewaktu mereka tiba di negeri Media, dan sudah dekat kota Ekbatana,

11 Rafael berkata, “Tobias kawanku!”“Ada apa?” sahut Tobias.Kata Rafael, “Nanti kita mesti menginap di rumah Raguel. Dia kerabatmu. Anaknya hanya satu; seorang gadis bernama Sara.

12 Engkau kerabatnya yang terdekat, jadi paling berhak untuk berkahwin dengan dia dan mewarisi semua kekayaan bapanya. Gadis itu berbudi, berani, dan sangat cantik. Bapanya juga seorang yang baik hati.

13 Malam ini saya akan berbincang dengan bapanya, supaya dia mengizinkan engkau memperisteri anaknya, oleh sebab engkaulah yang paling berhak. Pesta perkahwinan akan kita adakan sesudah kita kembali dari kota Ragai. Raguel tahu bahawa engkaulah yang paling berhak memperisteri anaknya. Jadi dia tak dapat menolak pinanganmu atau memberikan anaknya kepada orang lain, kerana jika dia menolak, dia melanggar Taurat Musa dan patut dihukum mati. Jadi dengarlah nasihatku. Malam nanti saya dan Raguel akan berunding tentang gadis itu, dan kami akan mengatur pertunanganmu. Sesudah kita kembali dari Ragai, kita bawa dia pulang.”

14 Tetapi Tobias berkata, “Azarya kawan saya, saya sudah mendengar cerita tentang ketujuh-tujuh orang suaminya yang dahulu. Mereka semuanya mati di bilik tidur pada malam pengantin sebelum sempat mendekatinya. Kata orang, mereka dibunuh syaitan.

15 Sara tak diapa-apakannya, tapi setiap orang yang mahu mendekati Sara dibunuhnya seketika itu. Oleh itu saya takut. Saya ini anak tunggal, dan kalau saya mati, pastilah kesedihan ibu bapa saya membawa mereka ke liang kubur. Lagi pula mereka tidak mempunyai anak lain untuk menguburkan mereka.”

16 Malaikat menjawab, “Sudah lupakah engkau pesan ayahmu? Dia ingin supaya engkau mengambil seorang gadis daripada sanak saudaramu sendiri. Dengarlah baik-baik. Jangan hiraukan syaitan. Ambillah gadis itu. Saya yakin malam nanti Sara diberi kepadamu menjadi isterimu.

17 Pada waktu masuk ke dalam bilik tidur, engkau harus membawa sebahagian daripada jantung dan hati ikan, dan menaruhnya di tempat pembakaran kemenyan. Baunya akan memenuhi seluruh bilik. Kalau syaitan menciumnya, dia akan lari dan tak mendekati Sara lagi untuk selama-lamanya.

18 Tapi sebelum engkau menghampiri isterimu, kamu berdua harus berdiri dan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Tinggi supaya Dia mengasihani dan melindungi kamu. Jangan takut. Sejak semula gadis itu dijodohkan untukmu. Engkau akan menyelamatkannya dan membawanya ke rumahmu. Saya yakin engkau dan Sara akan dikurniakan banyak anak. Sekali lagi, jangan khuatir!”

19 Ketika Tobias mendengar kata-kata Rafael bahawa Sara adalah kerabatnya daripada keluarga bapanya, dia jatuh cinta kepadanya dan mahu mengahwininya.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14