1 Maka pada masa pemerintahan Raja Esarhadon, saya pulang ke rumah dan berkumpul semula dengan Anna isteri saya dan Tobias anak saya. Pada Perayaan Pentakosta, yang juga disebut Perayaan Tujuh Minggu, saya duduk untuk menikmati makanan perayaan.
2 Apabila melihat makanan yang berlimpah-limpah di atas meja, saya berkata kepada Tobias, “Nak, pergilah mencari antara saudara-saudara kita di kota ini seorang yang miskin dan yang sungguh-sungguh taat kepada Tuhan. Ajaklah dia ke mari untuk makan bersama. Aku akan tunggu sehingga engkau kembali.”
3 Maka pergilah Tobias untuk mencari seorang saudara yang miskin. Tetapi dia segera kembali dan berkata, “Ayah! Ayah!” “Ada apa?” saya bertanya. “Ada orang kita yang dibunuh! Dia mati dicekik, dan mayatnya dibuang dan masih tergeletak di pasar.”
4 Saya segera bangkit dan meninggalkan meja tanpa menjamah makanan itu. Lalu mayat itu saya ambil, dan saya letakkan di dalam sebuah rumah, oleh sebab saya hanya dapat menguburkannya sesudah matahari terbenam.
5 Lalu saya pulang dan mandi. Sesudah itu saya makan dengan hati yang sedih.
6 Saya teringat pada kata-kata Nabi Amos tentang kota Betel:“Perayaan-perayaan kamu akan berubah menjadi perkabungandan semua nyanyian kamu menjadi ratapan.”Lalu menangislah saya.
7 Sesudah matahari terbenam, saya pergi untuk menggali lubang, lalu menguburkan mayat itu.
8 Tetangga-tetangga mentertawakan saya dan berkata, “Engkau pernah dicari untuk dibunuh kerana menguburkan mayat, dan kalau tak lari, pasti engkau sudah mati. Sekarang engkau berbuat begitu lagi. Apakah engkau belum takut?”
9 Malam itu juga saya mandi, lalu keluar ke halaman untuk tidur dekat tembok. Malam itu panas sekali, sehingga saya tidak memakai tudung muka.
10 Saya tidak tahu bahawa di tembok itu, tepat di atas saya, ada burung pipit. Kotorannya yang masih hangat jatuh ke dalam mata saya. Kemudian timbul lapisan putih pada mata saya. Saya menemui doktor, seorang demi seorang, tetapi semakin diubati, semakin rabun mata saya, sehingga akhirnya saya menjadi buta sama sekali.Empat tahun lamanya saya tidak dapat melihat. Sanak saudara saya sangat sedih melihat keadaan saya. Selama dua tahun, hidup saya ditanggung oleh Ahikar sehingga dia pindah ke daerah Elumais.
11 Sesudah Ahikar pindah, Anna isteri saya, seperti kebanyakan wanita lain harus mencari nafkah sebagai tukang tenun.
12 Apabila sudah menjadi kain, dia menghantarnya kepada pemesannya, lalu mendapat upah. Suatu hari, pada musim bunga dia menyelesaikan sehelai kain, lalu menghantarkannya kepada pemesannya. Dia menerima upah penuh, ditambah dengan anak kambing untuk dipotong.
13 Setibanya di rumah, anak kambing itu mula mengembik. Saya memanggil isteri saya dan bertanya, “Dari mana kambing itu? Adakah engkau mencurinya? Kembalikan kepada pemiliknya! Kita tak boleh makan barang curian.”
14 Isteri saya menjawab, “Kambing ini hanya upah tambahan.” Tetapi saya tidak percaya. Perbuatan isteri saya membuat muka saya merah padam kerana malu. Saya menyuruh dia mengembalikan anak kambing itu kepada pemiliknya, tetapi dia membantah. “Sekarang nyatalah sifatmu yang sebenarnya!” teriaknya. “Mana kebaikanmu? Mana amalmu?”