Tobit 5 BMDC

Persiapan untuk Perjalanan

1 Lalu Tobias menjawab bapanya begini, “Semua perintah ayah akan saya lakukan.

2 Tapi bagaimana saya dapat mengambil wang itu daripada Gabael? Kami belum pernah bertemu. Bagaimana saya dapat membuktikan kepadanya siapa saya ini, sehingga dia percaya dan memberikan wang itu kepada saya? Lagi pula saya tak tahu jalan ke Media.”

3 Jawab Tobit, “Aku dan Gabael telah bersama-sama menandatangani suatu surat pernyataan. Surat itu kubahagi dua, dan kami masing-masing menyimpan sebahagian. Bahagian Gabael kusimpan dalam kantung wang yang kuamanahkan itu. Peristiwa itu terjadi dua puluh tahun yang lalu. Sekarang pergilah mengambil wang itu daripada Gabael. Carilah dulu orang yang dapat dipercayai dan yang mahu menemani engkau ke Media. Upahnya akan kita bayar pada waktu engkau kembali.”

Tobias Bertemu dengan Rafael

4 Lalu pergilah Tobias mencari orang yang tahu akan jalan ke Media dan yang mahu menemaninya ke sana. Apabila dia baru sahaja keluar dari rumahnya, dia bertemu dengan Rafael, tetapi Tobias tidak tahu bahawa Rafael malaikat Allah.

5 Maka bertanyalah Tobias, “Saudara dari mana?”Sahut Rafael, “Saya orang Israel. Kita masih bersaudara. Saya datang ke Niniwe ini untuk mencari pekerjaan.”“Tahukah engkau jalan ke Media?” tanya Tobias.

6 “Tahu,” jawab Rafael. “Saya seringkali ke sana dan mengenal semua jalannya. Saya biasa menginap di rumah Gabael saudara kita yang tinggal di Ragai, kota pergunungan di negeri Media. Kota Ragai itu jauhnya dua hari perjalanan dari kota Ekbatana.”

7 Lalu Tobias berkata kepada Rafael, “Tunggulah di sini, kawan. Saya masuk sebentar untuk memberitahukan hal itu kepada ayah saya. Alangkah baiknya jika engkau dapat menemani saya ke Media. Engkau akan kami beri upah untuk perjalanan itu.”

8 “Baiklah,” sahut Rafael. “Saya tunggu, tapi jangan lama-lama.”

9 Tobias masuk ke dalam rumah dan berkata kepada bapanya, “Ayah, saya sudah menemui seorang Israel yang dapat menemani saya.”“Suruhlah orang itu masuk,” jawab Tobit. “Aku ingin tahu dia daripada keluarga mana dan suku mana, dan adakah dia dapat dipercayai untuk menemani engkau.”

Tobit Bertemu dengan Rafael

10 Lalu Tobias keluar dan memanggil Rafael. Katanya, “Ayah saya ingin bertemu dengan engkau.” Maka masuklah Rafael, dan Tobit memberi salam dahulu.Rafael membalas salam itu, dan katanya, “Semoga bapa sihat walafiat!”Jawab Tobit, “Mana mungkin saya sihat walafiat? Saya ini buta dan tak dapat melihat, seperti orang mati yang tak nampak cahaya. Ya, saya tinggal dalam kegelapan seperti orang mati! Saya mendengar orang bercakap, tapi tak dapat melihat mereka.”“Tabahlah, bapa,” sahut Rafael. “Tak lama lagi Allah akan menyembuhkan bapa. Kuatkanlah hati bapa!”Lalu kata Tobit, “Tobias anak saya mahu pergi ke Media. Dapatkah engkau ikut dan menunjukkan jalan? Nanti akan saya bayar upahmu.”Jawab Rafael, “Saya akan menemani anak bapa. Saya sudah seringkali ke sana dan mengenal semua jalan di dataran dan di pergunungan.”

11 Tobit bertanya lagi, “Cuba ceritakan, engkau daripada keluarga dan suku mana?”

12 Tetapi Rafael menjawab, “Mengapa bapa tanyakan hal itu?”Tobit mendesak, “Saya hanya ingin tahu siapa engkau dan siapa namamu.”

13 Jawab Rafael, “Saya Azarya, anak Ananias yang tua, saudara bapa.”

14 Lalu Tobit berkata, “Selamat datang ke rumah kami! Jangan berasa tersinggung kerana saya bertanya siapa engkau dan siapa keluargamu. Ternyata engkau daripada keluarga yang sangat baik dan kerabat kami pula. Ananias dan Natan, anak Semeya yang tua itu, saya kenal baik. Mereka orang yang setia kepada agama. Dahulu kami biasa pergi bersama-sama untuk beribadat di Yerusalem. Sanak saudaramu orang yang terhormat, dan engkau keturunan orang baik. Selamat datang!”

15 Lalu Tobit berkata lagi, “Engkau saya beri upah harian berserta tambahan perbelanjaan hidup untuk kamu berdua.

16 Pergilah bersama dengan anak saya, nanti upahmu akan ditambah lagi.”

17 “Saya akan menemani dia,” kata Rafael. “Bapa tak perlu khuatir. Kami akan sampai di sana dan pulang dengan selamat, kerana jalan-jalannya aman.”“Semoga Allah memberkati kamu,” sahut Tobit. Lalu dipanggilnya Tobias dan berkata kepadanya, “Nak, siapkanlah segala sesuatu yang kauperlukan untuk perjalanan kamu berdua. Semoga Allah Yang Maha Tinggi melindungi kamu berdua ke sana dan menghantar kamu pulang dengan sihat walafiat. Semoga malaikat Tuhan melindungi kamu dalam perjalananmu.”Sebelum berangkat, Tobias memeluk ibu bapanya. Kata Tobit lagi, “Selamat jalan!”

18 Tetapi ibunya mula menangis. Katanya kepada Tobit, “Mengapa anakku kausuruh pergi? Bukankah dia penopang kita pada hari tua? Siapa yang akan menjaga kita sekarang?

19 Begitu pentingkah wang itu bagimu sehingga kaupertaruhkan nyawa anakmu sendiri untuk mendapat wang itu kembali?

20 Tak cukupkah kita hidup dengan apa yang diberi oleh Tuhan kepada kita?”

21 Jawab Tobit, “Tenanglah, dia akan sampai di sana dan kembali dengan selamat. Engkau akan melihat dia pulang dengan sihat walafiat.

22 Jangan khuatir, kerana malaikat baik menyertai Tobias. Perjalanannya akan berhasil dan dia akan pulang dengan selamat.”

23 Apabila mendengar itu, Anna berhenti menangis.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14