Tobit 8 BMDC

Syaitan Diusir

1 Selesai makan minum, tibalah saatnya untuk tidur, dan ibu bapa Sara menghantar Tobias ke bilik tidur yang disiapkan itu.

2 Tobias ingat akan pesan Rafael, maka diambilnya jantung dan hati ikan dari dalam kantung yang dibawanya, lalu ditaruhnya di tempat pembakaran kemenyan.

3 Bau ikan mengganggu syaitan, sehingga dia lari ke Mesir. Tetapi Rafael mengejarnya dan menangkapnya di sana dan segera membelenggu tangan dan kakinya.

Doa Tobias

4 Ketika Tobias dan Sara berdua sahaja di dalam bilik yang terkunci, Tobias bangkit dari tempat tidur dan berkata kepada isterinya, “Bangunlah, kekasihku. Mari kita berdoa memohon belas kasihan dan perlindungan Tuhan.”

5 Maka bangunlah Sara, dan mereka bersama-sama berdoa memohon perlindungan Allah. Tobias berdoa begini,“Terpujilah Engkau, ya Allah leluhur kami!Semoga nama-Mu dipuji selama-lamanyaoleh segala ciptaan-Mu di syurga dan di bumi.

6 Engkau telah mencipta Adam;Kauberi kepadanya Hawa menjadi isterinyauntuk menolong dan menopang dia;mereka menjadi nenek moyang umat manusia.Engkau berkata, ‘Tidak baik jika manusia itu bersendirian;dia akan Kuberikan pembantu yang sepadan.’

7 Ya Tuhan, sekarang Sara kuambil sebagai isteri,dengan segala ketulusan hati,dan bukan kerana nafsu berahi.Sudilah mengasihani kami berdua,supaya kami tetap bersatu sehingga tua.”

8 Mereka serentak mengucapkan “Amin,”

9 lalu tidur sepanjang malam.

Orang Tua Sara Khuatir

10 Malam itu Raguel bangun. Dia memanggil pelayan-pelayannya, lalu pergi bersama mereka menggali lubang kuburan, kerana dia berfikir, “Jangan-jangan Tobias mati, dan kita menjadi bahan tertawaan orang.”

11 Selesai menggali lubang, Raguel masuk ke dalam rumah dan berkata kepada isterinya,

12 “Suruhlah pelayan perempuan masuk untuk melihat apakah Tobias masih hidup. Kalau dia sudah mati, baiklah kita kuburkan dia sebelum diketahui orang.”

13 Lalu mereka menyuruh pelayan perempuan membawa lampu dan membuka pintu untuk melihat Tobias masih hidup ataupun tidak. Apabila pelayan itu masuk, dilihatnya kedua-dua orang itu sedang tidur nyenyak.

14 Dia segera keluar dan memberitahu Raguel dan Edna bahawa Tobias masih hidup dan tidak cedera.

15 Lalu mereka memuji Allah Yang Maha Tinggi.“Terpujilah Engkau, ya Allah!Semoga umat-Mu memuji Engkau selama-lamanya;semoga mereka memuji Engkau dengan hati yang murni.

Doa Raguel

16 Terpujilah Engkau kerana telah menggembirakan aku;Kauperlakukan kami dengan belas kasihan-Mu yang besar;ternyata apa yang kutakuti tidak terjadi.

17 Terpujilah Engkau, ya Tuhan,oleh sebab Engkau mengasihani kedua-dua orang anak tunggal itu.Kasihanilah dan lindungilah mereka,supaya mereka tetap hidup gembira dalam kasih sayang.”

18 Lalu Raguel menyuruh pelayan-pelayannya menutup lubang kuburan itu sebelum matahari terbit.

Pesta Perkahwinan

19 Sesudah itu Raguel menyuruh isterinya membuat banyak roti. Dia sendiri pergi ke tempat kawanan ternakannya dan kembali membawa dua ekor lembu jantan dan empat ekor domba jantan. Disuruhnya pelayan-pelayannya memotong ternakan itu dan mempersiapkan pesta perkahwinan.

20 Lalu dipanggilnya Tobias, dan berkata kepadanya, “Tinggallah di sini selama dua minggu untuk makan minum bersama kami. Biarlah anakku bersenang-senang oleh sebab dia sudah banyak menderita.

21 Sesudah itu engkau boleh mengambil separuh daripada milikku dan pulang dengan selamat ke rumah ayahmu. Milikku yang separuh lagi akan menjadi kepunyaanmu juga sesudah aku dan Edna meninggal. Tabahkanlah hatimu, nak! Sekarang aku bapamu dan Edna ibumu, dan engkau anak kami seperti Sara.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14