4 Anna isterinya berkata kepada Tobit, “Pastilah anakku sudah mati!” Lalu dia mula menangisi dan meratapi Tobias.
5 “Malanglah aku, hai anakku; cahaya mataku, mengapa engkau kubiarkan pergi?”
6 Lalu Tobit berkata kepada isterinya, “Tenanglah, adik. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Dia sihat. Barangkali ada halangan sehingga mereka tertahan di sana. Orang yang menemaninya dapat dipercayai, lagi pula dia bersaudara dengan kita. Jangan sedih kerana dia. Dia akan lekas pulang.”
7 Tetapi Anna menjawab, “Diam! Jangan bohongi aku! Pasti anakku sudah mati!”Setiap hari Anna keluar rumah dan terus mengamati jalan yang dilalui Tobias waktu berangkat. Dia tidak mahu mendengar sesiapa pun dan hanya pulang sesudah matahari terbenam. Setiba di rumah dia tidak tidur, tetapi sepanjang malam menangisi dan meratapi anaknya.
8 Raguel sudah berjanji dengan sumpah bahawa pesta perkahwinan anaknya akan dilangsungkan selama dua minggu. Sesudah pesta itu selesai, Tobias berkata kepada Raguel, “Izinkanlah saya pulang sekarang. Ibu bapa saya pasti sudah khuatir dan tak berharap lagi akan melihat saya. Saya sudah menceritakan kepada bapa bagaimana keadaan ayah saya waktu saya meninggalkan rumah.”
9 Raguel menjawab, “Jangan dulu, nak! Aku akan mengutus seorang kepada ayahmu untuk mengatakan bahawa engkau baik-baik saja.”Tetapi Tobias mendesak, “Jangan. Izinkanlah saya pulang ke rumah ayah saya sekarang juga.”
10 Lalu Raguel bangkit dan menyerahkan Sara, anaknya, kepada Tobias, serta separuh daripada miliknya, iaitu hamba abdi, lembu, domba, keldai, unta, pakaian, wang, dan perabotnya.