9 Raguel menjawab, “Jangan dulu, nak! Aku akan mengutus seorang kepada ayahmu untuk mengatakan bahawa engkau baik-baik saja.”Tetapi Tobias mendesak, “Jangan. Izinkanlah saya pulang ke rumah ayah saya sekarang juga.”
10 Lalu Raguel bangkit dan menyerahkan Sara, anaknya, kepada Tobias, serta separuh daripada miliknya, iaitu hamba abdi, lembu, domba, keldai, unta, pakaian, wang, dan perabotnya.
11 Demikianlah dia mengizinkan mereka pergi dengan sihat walafiat. Dia memberi salam kepada mereka, katanya, “Selamat jalan, nak. Semoga Tuhan Yang Maha Tinggi memberkati engkau dan Sara. Semoga aku masih hidup untuk melihat anak-anak kamu.”
12 Lalu Raguel berkata kepada Sara, “Pergilah kepada mentuamu. Mulai sekarang mereka menjadi ibu bapamu dan engkau anak mereka. Selamat jalan, anakku. Biarlah aku mendengar yang baik-baik saja tentang engkau selagi aku masih hidup.” Lalu dia memeluk mereka dan melepaskan mereka pergi.
13 Kemudian Edna berkata kepada Tobias, “Semoga Tuhan menghantar engkau pulang dengan selamat, anakku dan saudaraku yang tercinta. Mudah-mudahan aku dalam hidup ini dapat melihat anak-anakmu. Tuhan menjadi saksi: Kepadamu aku mempercayakan anakku. Jangan sedihkan hatinya selama hidupmu. Selamat jalan, Tobias. Mulai sekarang Sara isterimu dan aku ibumu. Semoga kita semua bahagia seumur hidup kita.” Lalu Edna memeluk mereka dan melepaskan mereka pergi.
14 Kemudian Tobias memuji Tuhan langit dan bumi, Raja alam semesta kerana perjalanannya sudah berhasil baik. Dia berjanji akan menghormati kedua-dua orang mentuanya selama mereka hidup. Lalu berangkatlah dia dengan sihat walafiat dan penuh sukacita.