10 Lalu Tobit berdiri, dan walaupun kakinya tersandung, dia keluar juga dari pintu halaman.
11 Tobias mendekati bapanya sambil memegang hempedu ikan. Ditiupnya mata bapanya, lalu sambil menopangnya, dia berkata, “Tabahkanlah hati ayah!” Kemudian hempedu ikan itu disapukannya pada mata bapanya, dan ubat itu dibiarkannya meresap.
12 Lalu dengan kedua-dua belah tangannya dikelupaskannya sesuatu dari hujung-hujung mata bapanya.
13 Tobit memeluk Tobias sambil menangis. Lalu dia berseru, “Aku melihat! Aku melihat engkau, anakku, cahaya mataku!
14 Terpujilah Allah! Pujilah Dia, kerana Dia besar! Terpujilah semua malaikat-Nya yang suci. Semoga Dia dengan kuasa-Nya melindungi kita. Terpujilah semua malaikat-Nya selama-lamanya. Tuhan sudah menyeksa aku dengan penyakit ini. Tapi sekarang aku dapat melihat semula Tobias, anakku.”
15 Lalu Tobias masuk ke dalam rumah. Hatinya penuh sukacita, dan dia memuji-muji Allah dengan suara nyaring. Kepada bapanya, dia menceritakan bahawa perjalanannya sudah berhasil baik. Tidak hanya wang dibawanya pulang, tetapi juga Sara anak Raguel, yang sudah menjadi isterinya. Dikatakannya bahawa isterinya sudah dekat pintu gerbang kota Niniwe dan segera akan datang.
16 Tobit sangat gembira, dan sambil memuji-muji Allah, dia keluar untuk menyambut anak menantunya di pintu gerbang kota. Ketika penduduk kota Niniwe melihat Tobit, mereka tercengang kerana dia berjalan sendirian dan tidak ada yang memimpinnya. Lalu kepada mereka semua, Tobit menceritakan bahawa Allah telah mengasihaninya dan menyembuhkan matanya.