2 Jawab Tobias, “Berapa yang harus saya berikan? Saya tak rugi sedikit pun kalau memberi dia separuh daripada segalanya yang telah saya bawa.
3 Dia sudah menghantar saya pulang dengan selamat dan membebaskan isteri saya daripada syaitan. Dia pula yang membawa wang itu pulang bersama saya dan akhirnya dia menyembuhkan ayah. Jadi berapakah banyaknya upah yang mesti saya berikan kepadanya?”
4 Jawab Tobit, “Berilah dia separuh daripada segalanya yang telah kaubawa pulang dengan pertolongannya. Upah itu berpatutan baginya.”
5 Lalu Tobias memanggil Rafael dan berkata kepadanya, “Terimalah sebagai upahmu separuh daripada segalanya yang kita bawa. Lalu engkau boleh pergi dengan selamat.”
6 Tetapi Rafael memanggil Tobit dan Tobias berdua sahaja, dan berkata kepada mereka, “Pujilah Allah, dan ceritakanlah segala kebaikan yang telah dilakukan-Nya bagimu kepada semua orang, supaya mereka pun memuji dan memuliakan-Nya. Beritakanlah perbuatan Allah sebagaimana layaknya kepada semua orang. Pujilah Dia dengan tiada henti-hentinya.
7 Memang baik menyimpan rahsia raja, tetapi perbuatan Allah harus diberitakan dan dipuji.Lakukanlah yang baik, maka kamu tidak akan ditimpa malapetaka.
8 Lebih baik berdoa dengan hati yang tulus dan memberi sedekah dengan ikhlas daripada memiliki harta yang banyak dengan cara yang tidak lurus. Lebih baik memberi sedekah daripada mengumpulkan emas.