5 Lalu Tobias memanggil Rafael dan berkata kepadanya, “Terimalah sebagai upahmu separuh daripada segalanya yang kita bawa. Lalu engkau boleh pergi dengan selamat.”
6 Tetapi Rafael memanggil Tobit dan Tobias berdua sahaja, dan berkata kepada mereka, “Pujilah Allah, dan ceritakanlah segala kebaikan yang telah dilakukan-Nya bagimu kepada semua orang, supaya mereka pun memuji dan memuliakan-Nya. Beritakanlah perbuatan Allah sebagaimana layaknya kepada semua orang. Pujilah Dia dengan tiada henti-hentinya.
7 Memang baik menyimpan rahsia raja, tetapi perbuatan Allah harus diberitakan dan dipuji.Lakukanlah yang baik, maka kamu tidak akan ditimpa malapetaka.
8 Lebih baik berdoa dengan hati yang tulus dan memberi sedekah dengan ikhlas daripada memiliki harta yang banyak dengan cara yang tidak lurus. Lebih baik memberi sedekah daripada mengumpulkan emas.
9 Orang yang suka memberi sedekah dibebaskan daripada maut dan dihapuskan semua dosanya. Dia akan mendapat umur panjang.
10 Sebaliknya, orang yang jahat dan berdosa memusuhi dirinya sendiri.
11 Tadi saya katakan bahawa rahsia raja harus disimpan, tetapi perbuatan Allah harus diumumkan kepada semua orang. Sekarang saya katakan yang sebenarnya kepadamu dan tidak saya rahsiakan apa-apa.