Tobit 14:5-12 BMDC

5 Tetapi Allah akan mengasihani umat-Nya lagi dan membawa mereka pulang ke negeri Israel. Rumah Allah akan dibina semula oleh mereka tetapi tidak seindah yang dahulu, apabila genap waktunya nanti. Pada masa itu seluruh bangsa Israel akan kembali daripada pembuangan. Kota Yerusalem akan dipulihkan menjadi semegah dahulu. Rumah Allah akan dibina semula di kota itu seperti yang dikatakan para nabi.

6 Maka semua bangsa di dunia akan bertaubat. Mereka akan menghormati Allah Yang Maha Esa dan Benar, dan membuang berhala-berhala mereka yang sama sekali menyesatkan. Semua bangsa di seluruh dunia akan memuji Allah yang kekal dengan melakukan kehendak-Nya.

7 Pada masa itu Allah akan menyelamatkan seluruh bangsa Israel yang setia kepada-Nya. Mereka akan datang dan berkumpul di Yerusalem. Tanah Abraham akan diberikan kepada mereka, dan di situ mereka dapat hidup dengan aman untuk selama-lamanya. Semua orang yang mencintai Allah dengan ikhlas akan bergembira. Tetapi orang jahat dan yang berdosa akan dilenyapkan dari muka bumi.

8-9 Jadi dengarlah nasihatku, hai anak-anakku! Hendaklah kamu mengabdi kepada Allah dengan hati yang tulus, dan lakukanlah apa yang berkenan kepada-Nya. Ajarilah anak-anakmu supaya mereka melakukan yang baik dan suka beramal kepada orang miskin. Juga, supaya mereka ingat kepada Allah dan selalu memuji Tuhan dengan tulus hati dan sekuat tenaga.Tobias anakku, pergilah meninggalkan kota Niniwe ini. Jangan menetap di sini. Sesudah menguburkan ibumu di sampingku, engkau harus segera berangkat. Jangan tinggal satu malam lebih lama di dalam wilayah kota ini. Negeri ini jahat dan penuh kekejian. Penduduknya tidak mempunyai rasa malu.

10 Ingatlah bagaimana Nadab memperlakukan Ahikar, bapa saudaranya sendiri yang telah membesarkan dia! Ahikar hidup-hidup dimasukkan ke dalam kubur. Tetapi Allah membalas Nadab dengan kejahatannya sendiri. Ahikar keluar menuju cahaya, sedangkan Nadab turun ke dalam kegelapan kekal kerana dia mahu membunuh Ahikar. Ahikar terlepas daripada jerat maut yang dipasang oleh Nadab baginya, kerana Ahikar suka memberi sedekah kepada orang miskin. Sedangkan Nadab sendiri jatuh ke dalam jerat maut dan dibinasakan.

11 Jadi anak-anakku, kamu melihat sendiri apa yang dihasilkan oleh perbuatan baik dan apa yang dihasilkan oleh perbuatan jahat. Memang kejahatan menghasilkan kematian. Tetapi sekarang aku sudah kehabisan tenaga.”Lalu Tobit dibaringkan di tempat tidurnya dan meninggal. Dia dikuburkan dengan semestinya.

12 Sesudah isteri Tobit meninggal, dia dikuburkan di samping suaminya. Kemudian Tobias berangkat dengan anak isterinya ke Ekbatana di Media, dan menumpang dengan Raguel, mentua Tobias.