10 Saya tidak tahu bahawa di tembok itu, tepat di atas saya, ada burung pipit. Kotorannya yang masih hangat jatuh ke dalam mata saya. Kemudian timbul lapisan putih pada mata saya. Saya menemui doktor, seorang demi seorang, tetapi semakin diubati, semakin rabun mata saya, sehingga akhirnya saya menjadi buta sama sekali.Empat tahun lamanya saya tidak dapat melihat. Sanak saudara saya sangat sedih melihat keadaan saya. Selama dua tahun, hidup saya ditanggung oleh Ahikar sehingga dia pindah ke daerah Elumais.
11 Sesudah Ahikar pindah, Anna isteri saya, seperti kebanyakan wanita lain harus mencari nafkah sebagai tukang tenun.
12 Apabila sudah menjadi kain, dia menghantarnya kepada pemesannya, lalu mendapat upah. Suatu hari, pada musim bunga dia menyelesaikan sehelai kain, lalu menghantarkannya kepada pemesannya. Dia menerima upah penuh, ditambah dengan anak kambing untuk dipotong.
13 Setibanya di rumah, anak kambing itu mula mengembik. Saya memanggil isteri saya dan bertanya, “Dari mana kambing itu? Adakah engkau mencurinya? Kembalikan kepada pemiliknya! Kita tak boleh makan barang curian.”
14 Isteri saya menjawab, “Kambing ini hanya upah tambahan.” Tetapi saya tidak percaya. Perbuatan isteri saya membuat muka saya merah padam kerana malu. Saya menyuruh dia mengembalikan anak kambing itu kepada pemiliknya, tetapi dia membantah. “Sekarang nyatalah sifatmu yang sebenarnya!” teriaknya. “Mana kebaikanmu? Mana amalmu?”