2 Katanya dalam hati, “Aku sudah minta kepada Tuhan supaya aku mati saja. Baiklah kupanggil anakku Tobias dan kuceritakan kepadanya tentang wang itu sebelum aku mati.”
3-4 Lalu Tobit memanggil Tobias dan berkata, “Nak, sesudah aku mati, kuburkanlah aku dengan semestinya. Hormatilah ibumu dan peliharalah dia selama hidupnya. Sesudah dia meninggal, kuburkanlah dia di sampingku. Ingatlah bahawa dia mempertaruhkan nyawanya pada masa mengandung dan melahirkan engkau. Oleh itu berusahalah untuk selalu menyenangkan hati ibumu, dan jangan kaususahkan dia dengan kelakuanmu.
5 Nak, ingatlah kepada Tuhan, Allahmu selama hidupmu. Jangan berdosa dan jangan langgar perintah-perintah-Nya. Lakukanlah selalu apa yang baik dan benar, dan jangan libatkan dirimu dalam kejahatan,
6 kerana orang yang melakukan yang benar akan berhasil dalam segala usaha mereka.
7 Berilah sedekah dengan murah hati kepada sesiapa yang setia mentaati Allah. Jangan menyesal apabila memberi sedekah. Jika engkau tak memperhatikan orang miskin, Allah pun tak akan memperhatikan engkau.
8 Berilah sedekah menurut kemampuanmu. Semakin banyak milikmu, semakin banyak pula yang harus kauberikan sebagai sedekah. Tapi, walaupun rezekimu sedikit, jangan takut untuk memberi,
9 oleh sebab dengan memberi engkau menabung harta yang berharga bagi masa kesulitan.