3 Jawab Tobit, “Aku dan Gabael telah bersama-sama menandatangani suatu surat pernyataan. Surat itu kubahagi dua, dan kami masing-masing menyimpan sebahagian. Bahagian Gabael kusimpan dalam kantung wang yang kuamanahkan itu. Peristiwa itu terjadi dua puluh tahun yang lalu. Sekarang pergilah mengambil wang itu daripada Gabael. Carilah dulu orang yang dapat dipercayai dan yang mahu menemani engkau ke Media. Upahnya akan kita bayar pada waktu engkau kembali.”
4 Lalu pergilah Tobias mencari orang yang tahu akan jalan ke Media dan yang mahu menemaninya ke sana. Apabila dia baru sahaja keluar dari rumahnya, dia bertemu dengan Rafael, tetapi Tobias tidak tahu bahawa Rafael malaikat Allah.
5 Maka bertanyalah Tobias, “Saudara dari mana?”Sahut Rafael, “Saya orang Israel. Kita masih bersaudara. Saya datang ke Niniwe ini untuk mencari pekerjaan.”“Tahukah engkau jalan ke Media?” tanya Tobias.
6 “Tahu,” jawab Rafael. “Saya seringkali ke sana dan mengenal semua jalannya. Saya biasa menginap di rumah Gabael saudara kita yang tinggal di Ragai, kota pergunungan di negeri Media. Kota Ragai itu jauhnya dua hari perjalanan dari kota Ekbatana.”
7 Lalu Tobias berkata kepada Rafael, “Tunggulah di sini, kawan. Saya masuk sebentar untuk memberitahukan hal itu kepada ayah saya. Alangkah baiknya jika engkau dapat menemani saya ke Media. Engkau akan kami beri upah untuk perjalanan itu.”
8 “Baiklah,” sahut Rafael. “Saya tunggu, tapi jangan lama-lama.”
9 Tobias masuk ke dalam rumah dan berkata kepada bapanya, “Ayah, saya sudah menemui seorang Israel yang dapat menemani saya.”“Suruhlah orang itu masuk,” jawab Tobit. “Aku ingin tahu dia daripada keluarga mana dan suku mana, dan adakah dia dapat dipercayai untuk menemani engkau.”