14 Tetapi Tobias berkata, “Azarya kawan saya, saya sudah mendengar cerita tentang ketujuh-tujuh orang suaminya yang dahulu. Mereka semuanya mati di bilik tidur pada malam pengantin sebelum sempat mendekatinya. Kata orang, mereka dibunuh syaitan.
15 Sara tak diapa-apakannya, tapi setiap orang yang mahu mendekati Sara dibunuhnya seketika itu. Oleh itu saya takut. Saya ini anak tunggal, dan kalau saya mati, pastilah kesedihan ibu bapa saya membawa mereka ke liang kubur. Lagi pula mereka tidak mempunyai anak lain untuk menguburkan mereka.”
16 Malaikat menjawab, “Sudah lupakah engkau pesan ayahmu? Dia ingin supaya engkau mengambil seorang gadis daripada sanak saudaramu sendiri. Dengarlah baik-baik. Jangan hiraukan syaitan. Ambillah gadis itu. Saya yakin malam nanti Sara diberi kepadamu menjadi isterimu.
17 Pada waktu masuk ke dalam bilik tidur, engkau harus membawa sebahagian daripada jantung dan hati ikan, dan menaruhnya di tempat pembakaran kemenyan. Baunya akan memenuhi seluruh bilik. Kalau syaitan menciumnya, dia akan lari dan tak mendekati Sara lagi untuk selama-lamanya.
18 Tapi sebelum engkau menghampiri isterimu, kamu berdua harus berdiri dan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Tinggi supaya Dia mengasihani dan melindungi kamu. Jangan takut. Sejak semula gadis itu dijodohkan untukmu. Engkau akan menyelamatkannya dan membawanya ke rumahmu. Saya yakin engkau dan Sara akan dikurniakan banyak anak. Sekali lagi, jangan khuatir!”
19 Ketika Tobias mendengar kata-kata Rafael bahawa Sara adalah kerabatnya daripada keluarga bapanya, dia jatuh cinta kepadanya dan mahu mengahwininya.