1 Kemudian Tobias memanggil Rafael dan berkata kepadanya,
2 “Azarya kawanku, baiklah engkau pergi menemui Gabael di kota Ragai. Bawalah empat orang pelayan dan dua ekor unta. Tolong berikan surat bukti ini kepada Gabael supaya dia menyerahkan wang itu kepadamu. Jemputlah dia juga untuk menghadiri pesta perkahwinan kami.
3-4 Engkau tahu bahawa ayah saya menghitung-hitung hari sehingga saya pulang. Dia akan sedih sekali kalau saya terlambat. Kau juga tahu bahawa saya didesak Raguel untuk tinggal di sini, dan saya tak dapat melanggar perintahnya.”
5 Maka berangkatlah Rafael dengan empat orang pelayan dan dua ekor unta ke kota Ragai di negeri Media, dan menginap di rumah Gabael. Dia menyerahkan surat bukti itu kepada Gabael. Lalu diceritakannya bahawa Tobias anak Tobit baharu sahaja berkahwin, dan bahawa Gabael diundang ke pesta perkahwinan. Maka Gabael segera bangkit. Dihitungnya kantung-kantung wang yang masih bermeterai, lalu dimuatnya semua di atas unta-unta.
6 Keesokan harinya pagi-pagi sekali mereka berangkat ke pesta perkahwinan. Setiba di rumah Raguel, mereka mendapati Tobias sedang makan. Tobias segera bangkit dan memberi salam kepada Gabael. Gabael membalas salam itu dengan berlinang air mata, dan menambah, “Anak yang luhur budi, kau seperti bapamu yang baik dan penderma! Semoga Allah Yang Maha Tinggi memberkati engkau dan isterimu serta mentuamu. Terpujilah Allah, oleh sebab saya dapat melihat gambaran Tobit, saudara sepupu saya!”