11 TUHAN telah merentangkan tangan-Nya ke atas lautan dan menggulingkan kerajaan-kerajaan. Dia telah memerintah supaya pusat-pusat perdagangan di Funisia dimusnahkan.
12 Hai kota Sidon, kegembiraanmu sudah berakhir. Sekarang rakyatmu ditindas. Walaupun mereka lari ke negeri Siprus, mereka masih tidak selamat.(
13 Bukan orang Asyur, melainkan orang Babilonia yang membiarkan binatang-binatang liar berkeliaran di Tirus. Orang Babilonia yang membina menara-menara untuk mengepung musuh; merekalah yang merobohkan kubu-kubu di Tirus, serta menjadikan kota itu reruntuhan.)
14 Merataplah, hai pelaut-pelaut yang belayar di laut! Kota yang kamu harapkan itu sudah musnah.
15 Masanya akan tiba apabila Tirus dilupakan selama tujuh puluh tahun, iaitu sepanjang usia seorang raja. Selepas itu, Tirus akan menjadi seperti seorang pelacur yang digambarkan oleh lagu berikut:
16 Bawalah kecapimu, kelilingilah kota,hai pelacur yang telah dilupakan orang!Petiklah kecapimu, bernyanyilah semula,supaya orang ingat akan kamu lagi!
17 Selepas tujuh puluh tahun itu, TUHAN akan membenarkan Tirus meneruskan perdagangannya dengan kerajaan-kerajaan di bumi ini semula.