1 Kira-kira pada masa itu, Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja dan berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.”
2 Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa,
3 “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu.
4 Kemudian TUHAN menyuruh Yesaya
5 kembali kepada Raja Hizkia dan menyampaikan pesan ini, “Aku, TUHAN, Allah yang disembah Daud, nenek moyangmu, telah mendengar doamu dan melihat air matamu. Aku akan menambah usiamu dengan lima belas tahun.
6 Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem daripada raja Asyur. Aku akan terus melindungi kota ini.”
21 Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan membubuhkannya pada bisul raja supaya raja sembuh.
22 Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa beta akan dapat pergi ke Rumah TUHAN lagi?”
7 Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberi tuanku satu tanda untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya.
8 TUHAN akan membuat bayangan penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas, undur sepuluh garis.” Maka undurlah bayangan itu sepuluh garis.
9 Selepas Raja Hizkia sembuh, baginda menulis lagu pujian ini:
10 Kufikir, pada puncak hidupku,aku akan pergi ke dunia orang mati,dan hari tua tidak dapat kualami.
11 Kufikir, di dunia orang hidupaku tidak akan memandang TUHAN lagi,atau sesiapa orang yang masih hidup.
12 Nyawaku putus, nafas terakhir kuhembus,seperti khemah gembala digulung,seperti kain dipotong dari alat penenun.Kusangka Allah akan mengakhiri hidupku.
13 Sepanjang malam aku berteriak kesakitan,seolah-olah singa sedang mematahkan tulangku.Kufikir Allah akan mengakhiri hidupku.
14 Suaraku redam dan lemah,aku mengeluh seperti burung merpati.Mataku penat kerana memandang ke langit.Ya Tuhan, selamatkan aku daripada segala kesusahan ini.
15 Apakah yang dapat kukatakan? TUHAN telah melakukannya.Hatiku pedih dan aku tidak dapat lena.
16 Ya Tuhan, aku rela hidup untuk-Mu, dan untuk-Mu sahaja.Sembuhkanlah aku dan biarlah aku hidup.
17 Lalu kepedihanku akan menjadi ketenteraman.Engkau menyelamatkan aku daripada segala bahaya;Engkau mengampunkan segala dosaku.
18 Tiada sesiapa pun di alam maut yang dapat memuji-Mu;orang mati tidak dapat mengharapkan kesetiaan-Mu.
19 Hanya orang hidup yang memuji Engkau,seperti sekarang aku memuji Engkau.Bapa menceritakan kesetiaan-Mu kepada anak mereka.
20 Engkau telah menyembuhkan aku, ya TUHAN.Kami akan memainkan kecapi dan menyanyikan pujian,seumur hidup kami di Rumah TUHAN.