Yesaya 26 BMDC

Allah Akan Memberi Umat-Nya Kemenangan

1 Masanya akan tiba apabila orang menyanyikan lagu ini di tanah Yehuda:Kota kita kuat!Allah yang membela temboknya!

2 Bukalah pintu-pintu gerbang kota,supaya masuk bangsa-bangsa yang setia,yang rakyatnya melakukan kehendak Allah.

3 Engkau, TUHAN, memberikan kedamaian dan kesejahteraankepada orang yang teguh hati,kerana mereka percaya kepada-Mu.

4 Percayalah kepada TUHAN selama-lamanya;Dia akan sentiasa melindungi kita.

5 Dia telah merendahkan orang yang sombong;Dia memusnahkan kota kukuh yang didiami mereka,dan meruntuhkan temboknya sehingga rata dengan tanah.

6 Orang yang miskin dan sengsaraakan memijak-mijaknya.

7 Jalan yang ditempuh orang baik itu lurus,kerana Engkau, TUHAN, meluruskannya bagi mereka.

8 Kami menurut kehendak-Mu dan berharap kepada-Mu;hanya Engkau yang kami rindui.

9 Jiwaku merindukan Engkau pada waktu malam;aku mencari Engkau dengan segenap hati.Apabila Engkau menghakimi bumi kelak,penduduknya akan mengetahui makna keadilan.

10 Walaupun orang jahat diperlakukan dengan baik,namun mereka tidak juga berbuat yang adil.Bahkan di negeri umat yang jujur, mereka tetap berlaku curang,dan tidak mengakui keagungan-Mu.

11 Musuh-Mu tidak tahu bahawa Engkau akan menghukum mereka.Ya TUHAN, permalukanlah mereka, dan biarlah mereka menderita.Biarlah mereka menanggung hukuman yang Engkau sediakan bagi mereka.Biarlah mereka melihat betapa besarnya kasih-Mu bagi umat-Mu.

12 Ya TUHAN, Engkau akan menjadikan kami makmur;segala yang kami capai ituadalah hasil perbuatan-Mu bagi kami.

13 Ya TUHAN, Allah kami, kami pernah dikuasai orang lain,tetapi hanya Engkaulah TUHAN kami.

14 Kini mereka sudah mati dan tidak akan hidup lagi;arwah mereka pun tidak akan bangkit kembali,kerana Engkau telah menghukum dan membinasakan mereka.Mereka tidak diingat lagi oleh sesiapa.

15 Ya TUHAN, Engkau telah menambahkan jumlah bangsa kami,dan meluaskan kawasan wilayah kami,kerana itu Engkau dipermuliakan.

16 Ya TUHAN, Engkau menghukum umat-Mu,dan dalam kesengsaraan, mereka berseru kepada-Mu.

17 Ya TUHAN, Engkau menyebabkan kami berteriak kesakitanseperti perempuan yang hendak bersalin.

18 Kami mengandung, dan kami menggeliat kesakitan,tetapi kami tidak melahirkan apa-apa.Kami tidak mendapat kemenangan bagi dunia;kami juga tidak menambah penduduknya.

19 Umat-Mu yang sudah mati akan hidup semula!Mayat mereka akan bangkit semula.Semua yang sudah dimasukkan ke dalam kubur,akan bangun dan bernyanyi dengan sukacita.Seperti embun yang berkilau-kilau menyegarkan bumi,demikian juga TUHAN akan menghidupkan mereka yang sudah lama mati.

Pengadilan dan Pemulihan

20 Masuklah ke dalam rumah kamu, hai bangsaku, dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika, sehingga kemurkaan Allah sudah reda.

21 TUHAN akan datang dari tempat kediaman-Nya di syurga untuk menghukum manusia di bumi kerana dosa mereka. Pembunuhan yang dilakukan secara rahsia di bumi akan terbongkar, dan kubur pun tidak lagi menyembunyikan mereka yang telah dibunuh.