2 Selepas itu Raja Sanherib mengarah ketua pegawainya berangkat dari Lakhis dan pergi ke Yerusalem bersama dengan satu pasukan tentera yang besar untuk memaksa Raja Hizkia menyerah diri. Pegawai itu mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas.
3 Tiga orang dari Yehuda datang menemuinya, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana; dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara.
4 Pegawai Asyur itu berkata kepada mereka, “Sampaikanlah titah raja Asyur kepada Raja Hizkia, ‘Mengapa kamu begitu yakin?
5 Adakah kamu menyangka bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang kamu harap untuk menolong kamu memberontak terhadap Asyur?
6 Kamu mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan kamu sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’ ”
7 Pegawai Asyur itu meneruskan kata-katanya lagi, “Atau mungkin kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu. Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem supaya beribadat di satu mazbah sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri.
8 Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberikan dua ribu ekor kuda kepada kamu jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu!