5 Adakah kamu menyangka bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang kamu harap untuk menolong kamu memberontak terhadap Asyur?
6 Kamu mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan kamu sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’ ”
7 Pegawai Asyur itu meneruskan kata-katanya lagi, “Atau mungkin kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu. Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem supaya beribadat di satu mazbah sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri.
8 Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberikan dua ribu ekor kuda kepada kamu jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu!
9 Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah, namun kamu mengharap orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu.
10 Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerangnya serta memusnahkannya.”
11 Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada pegawai itu, “Tuan, bertuturlah kepada kami dalam bahasa Aram. Kami faham akan bahasa itu. Janganlah bertutur dalam bahasa Ibrani. Semua orang di atas tembok itu dapat memahaminya.”