Kebijaksanaan Salomo 12 BMDC

1 Roh-Mu yang kekal ada di dalam mereka masing-masing dan

2 dengan halus Engkau tegur orang yang berdosa. Engkau ingatkan mereka akan perbuatan mereka supaya menjauhkan kejahatan, dan agar mereka percaya kepada-Mu, ya Tuhan.

Dosa dan Hukuman Orang Kanaan

3-4 Engkau membenci juga penduduk lama negeri-Mu yang suci kerana perbuatan mereka yang keji. Mereka melakukan sihir dan upacara najis.

5 Dalam upacara-upacara rahsia, mereka berpesta pora secara liar. Tanpa kasihan mereka membunuh anak-anak mereka dan makan darah dan daging manusia.

6 Orang tua membunuh anak-anak mereka yang tidak berdaya. Oleh itu Engkau menghendaki supaya mereka dibinasakan oleh nenek moyang kami,

7 supaya negeri yang Engkau anggap paling berharga mendapat penghuni yang sesuai iaitu anak-anak-Mu.

8 Tetapi kerana mereka manusia, Engkau mengasihani mereka juga. Engkau mengirimkan lebah-lebah besar mendahului tentera-Mu supaya mereka dibinasakan dengan beransur-ansur.

9 Engkau dapat menyuruh orang baik menumpas orang jahat di dalam pertempuran. Engkau dapat juga memusnahkan mereka sekaligus dengan binatang buas atau dengan perintah yang keras.

10 Tetapi mereka Kauhukum perlahan-lahan supaya mereka sempat bertaubat, walaupun Engkau tahu bahawa mereka keturunan orang jahat. Mereka jahat sejak dilahirkan dan jalan fikiran mereka tidak akan berubah selama-lamanya.

11 Sejak mula-mula, bangsa itu sudah terkutuk. Apabila mereka tidak Kauhukum kerana dosa-dosa mereka, hal itu bukan pula kerana ada yang Kautakuti.

Allah Maha Kuasa

12 Engkaulah yang mencipta bangsa-bangsa jahat itu. Jika Engkau membinasakan mereka, tidak ada yang sanggup mendakwa Engkau dan membela mereka. Tidak ada yang sanggup menanyai Engkau atau menentang keputusan-Mu.

13 Engkaulah yang memelihara segala sesuatu. Hanya Engkaulah Allah, dan tidak ada yang lain. Jadi Engkau tidak perlu mempertanggungjawabkan keputusan-Mu kepada sesiapa pun.

14 Tidak ada raja atau penguasa di dunia yang dapat mempersalahkan Engkau kerana menghukum bangsa-bangsa itu.

15 Oleh sebab Engkau adil, maka segala sesuatu Kauperintah dengan adil. Engkau tidak pernah menggunakan kekuasaan-Mu untuk menghukum orang yang tidak seharusnya dihukum,

16 kerana kekuatan-Mu ialah sumber keadilan-Mu. Kerana Engkau memerintah segala sesuatu, maka Engkau menunjukkan belas kasihan-Mu kepada semuanya.

17 Engkau menunjukkan kekuatan-Mu apabila orang meragukan kekuasaan-Mu yang sempurna. Engkau menghukum orang yang mengetahui kekuasaan-Mu, tetapi terlalu sombong untuk mengakuinya.

18 Tetapi Engkau Yang Maha Kuat mengadilinya dengan penuh belas kasihan. Engkau membimbing kami dengan penuh kesabaran kerana Engkau berkuasa untuk bertindak bila-bila sahaja Engkau mahu.

19 Dengan berbuat demikian, Engkau mengajar umat-Mu bahawa orang yang adil harus juga murah hati. Engkau memberi umat-Mu harapan yang baik dengan memungkinkan mereka bertaubat daripada dosa-dosa mereka.

20 Engkau berhati-hati dan sabar apabila menghukum musuh-musuh umat-Mu. Bahkan kalau mereka patut dihukum mati, Engkau memberi mereka waktu dan kesempatan untuk meninggalkan kejahatan mereka.

21 Betapa berhati-hatinya Engkau mengadili umat-Mu kerana Engkau telah membuat perjanjian dengan nenek moyang mereka, dan berjanji dengan sumpah akan memberi mereka hal-hal yang baik.

22 Memang Engkau menghukum kami, tetapi tidak seberat Engkau menghukum musuh-musuh kami. Dengan demikian kami dapat mengingat kebaikan-Mu pada waktu kami mengadili orang lain, dan boleh mengharapkan belas kasihan pada waktu kami sendiri diadili.

Orang Mesir Dihukum

23 Oleh itu orang bodoh yang terus hidup jahat Kauhukum dengan kekejian mereka sendiri,

24 oleh sebab mereka menyeleweng dan tersesat daripada jalan yang benar. Mereka menyembah binatang yang paling keji dan hina, dan seperti anak kecil mereka mudah tertipu.

25 Maka mereka Kauperlakukan seperti anak kecil yang tidak berfikir, dan Kauhukum dengan hukuman yang mencemuh mereka.

26 Tetapi orang yang tidak mahu memperhatikan peringatan yang mencemuh itu akan mengalami hukuman Allah yang setimpal.

27 Ketika diseksa dengan binatang pujaan mereka, mereka menjadi marah. Lalu mata mereka terbuka dan mereka mengakui bahawa Allah yang dahulu mereka sangkal ialah Allah yang benar. Itulah sebabnya mereka ditimpa hukuman yang paling berat.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19