Kebijaksanaan Salomo 2 BMDC

Fikiran Orang Jahat

1 Tidak tepatlah fikiran orang jahat kalau mereka berkata, “Hidup ini pendek dan menyedihkan. Kalau orang tiba pada ajal mereka, tidak ada yang dapat menyelamatkan mereka. Belum pernah terdengar bahawa ada orang yang kembali dari dunia orang mati.

2 Kebetulan sahaja kita lahir, dan sesudah hidup ini berakhir, keadaan kita sama sahaja, seolah-olah tidak pernah ada. Nafas kita hanya asap, dan akal kita hanya merupakan bunga api percikan denyut jantung kita.

3 Apabila api itu padam, badan kita hancur menjadi debu dan roh kita tersebar seperti udara.

4 Lambat-laun perbuatan kita dilupakan dan nama kita hilang daripada ingatan. Hidup kita berlalu seperti jejak awan atau kabut yang lenyap dalam panas matahari.

5 Masa hidup kita seperti bayangan yang berlalu. Kita tidak mungkin kembali dari alam maut, kerana hal itu sudah dimeteraikan dan tiada jalan kembali.”

6 Orang jahat berkata, “Mari kita nikmati segala yang baik dalam hidup ini dan cepat manfaatkan semua yang tersedia di dunia seperti pada masa muda kita.

7 Mari kita minum wain yang mahal dan pakai minyak wangi sepuas-puasnya; jangan tinggalkan sekuntum bunga pun pada musim semi.

8 Mari kita rangkai bunga mawar untuk hiasan kepala selagi masih kuncup dan belum layu.

9 Baiklah kita semua ikut berpesta pora dan meninggalkan tanda-tanda kegembiraan di mana-mana; itulah hak dan bahagian kita!”

Sikap Orang Jahat Terhadap Orang Baik

10 Orang jahat berkata, “Mari kita tindas orang miskin yang baik; jangan kasihani balu dan jangan pedulikan orang tua.

11 Kerana kita kuat, kitalah yang benar. Orang lemah jelas tidak berguna.

12 Mari kita cari kesempatan untuk menyingkirkan orang baik, kerana mereka mengganggu kita dan menentang perbuatan kita. Kita dituduh melanggar Taurat Musa dan dicela kerana menyalahkan pendidikan kita.

13 Katanya mereka mengenali Allah dan mereka mengaku diri anak Tuhan.

14 Bagi kita mereka merupakan celaan atas fikiran kita; melihat mereka saja sudah berat rasanya.

15 Hal itu demikian kerana mereka tidak seperti orang biasa; segala tingkah laku mereka aneh.

16 Mereka menganggap kita penipu dan menjauhkan cara hidup kita seolah-olah hal itu najis. Mereka berbangga bahawa Allah itu Bapa mereka, dan percaya bahawa orang baik akan berbahagia pada akhir hidup mereka.

17 Cuba kita lihat sama ada perkataan mereka itu benar dan apa yang terjadi pada waktu mereka mati.

18 Kalau orang baik itu sungguh anak Allah, pasti Allah menolong dan menyelamatkan mereka daripada kekuasaan musuh.

19 Oleh itu, mari kita cubai mereka dan kita seksa mereka dengan kejam supaya kita tahu setakat mana kelembutan dan kesabaran hati mereka.

20 Mari kita jatuhi mereka dengan hukuman mati yang memalukan, oleh sebab mereka berkata bahawa Allah pasti datang menolong mereka!”

Orang Jahat Sesat

21 Begitulah fikiran orang jahat, tetapi mereka sesat kerana dibutakan oleh kejahatan mereka sendiri.

22 Mereka tidak mengenal rahsia-rahsia Allah dan tidak menghargai atau mengharapkan imbalan bagi orang yang hidup suci serta meremehkan ganjaran orang yang tidak bercela.

23 Allah mencipta kita untuk hidup kekal; Dia mencipta kita menurut gambar-Nya sendiri.

24 Tetapi kerana syaitan iri hati, maut masuk ke dalam dunia, dan orang yang memihak syaitan akan mati.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19