Kebijaksanaan Salomo 17 BMDC

Orang Mesir Ditimpa Ketakutan pada Waktu Malam

1 Ya Tuhan, keputusan-Mu sungguh mengagumkan dan sukar dijelaskan. Oleh itu orang yang tidak diajar tersesat.

2 Orang jahat berfikir bahawa mereka dapat menguasai umat-Mu yang suci. Padahal mereka sendiri terbelenggu dalam kegelapan malam yang panjang. Mereka terkurung di rumah sendiri, terpisah daripada pemeliharaan-Mu yang abadi.

3 Mereka menyangka bahawa dosa mereka tersembunyi dan tidak terlihat kerana terselubung oleh tabir kelupaan. Tetapi mereka sangat ketakutan, bingung, dan gempar melihat bayang-bayang hantu.

4 Bahkan tempat-tempat persembunyian mereka tidak dapat melindungi mereka daripada ketakutan. Bunyi-bunyi yang mengerikan menderu-deru di sekeliling mereka. Hantu-hantu muram dengan muka yang suram muncul di depan mereka.

5 Tidak ada api yang dapat memberi cahaya kepada mereka, dan bintang-bintang yang cemerlang pun tidak mampu menerangi malam yang keji itu.

6 Yang nampak bagi mereka hanya api menakutkan yang tidak dinyalakan oleh tangan manusia. Selepas benda yang dilihat itu lenyap, mereka tetap ketakutan dan apa yang dilihat itu dianggap lebih mengerikan lagi.

7 Sia-sialah segala tipuan hasil ilmu sihir mereka, dan segala kepandaian yang dibualkan oleh mereka ternyata tidak ada gunanya.

8 Ada orang yang berjanji akan mengusir segala ketakutan dan kekacauan daripada orang yang sakit jiwa. Tetapi sekarang mereka sendiri yang sakit kerana ketakutan yang patut ditertawakan.

9 Bahkan kalau tidak ada apa-apa yang menakutkan, mereka terkejut kerana binatang yang lalu atau ular yang berdesis.

10 Maka matilah mereka, gementar ketakutan. Mereka enggan melihat kenyataan, meskipun tidak dapat dihindari.

11 Memang orang jahat adalah pengecut. Mereka dihukum oleh kesaksian hati mereka sendiri. Mereka tertekan oleh suara hati mereka, sehingga kesulitan mereka bertambah-tambah,

12 oleh sebab ketakutan itu tidak lain daripada melepaskan bantuan akal budi.

13 Semakin kecil kepercayaan orang kepada bantuan akal budi mereka, semakin besar ketidaktahuan mereka tentang sebab-musabab seksaan itu.

14 Sepanjang malam mereka sama-sama tidur dengan gelisah, walaupun malam itu sungguh tidak berkuasa terhadap mereka, kerana datang dari hujung dunia orang mati yang tidak berdaya itu.

15 Mereka dikejar-kejar oleh bayangan hantu yang mengerikan, dan mereka lumpuh kerana putus asa. Mereka ditimpa ketakutan yang mendadak dan tidak disangka-sangka.

16 Sesiapa sahaja yang ada di sana rebah dan ditahan di dalam penjara kegelapan tanpa jeriji.

17 Petani, gembala, dan buruh yang bekerja di luar disergap dan ditimpa oleh nasib yang sama yang tidak dapat dihindari. Mereka semua diikat dalam kegelapan dengan rantai yang sama.

18-19 Mereka gementar ketakutan oleh desiran angin atau kicauan burung di pokok, atau deru air yang deras arusnya atau deram batu-batu yang berguling-guling ke bawah, atau derap tidak kelihatan daripada binatang yang melompat-lompat, atau aum binatang buas ataupun gema yang berkumandang di pergunungan.

20 Sementara itu di bahagian lain bumi ini, matahari bersinar dengan terang benderang, dan orang sibuk dengan pekerjaan mereka tanpa gangguan.

21 Hanya musuh-musuh umat-Mu diliputi kegelapan malam yang pekat itu. Kegelapan itu adalah bayangan daripada kegelapan maut yang menantikan mereka. Mereka menjadi beban bagi diri mereka, beban yang lebih berat daripada kegelapan itu sendiri.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19