Kebijaksanaan Salomo 8 BMDC

1 Kekuatannya meluas ke seluruh dunia dan segala sesuatu diaturnya dengan baik.

Raja Salomo Mencintai Kebijaksanaan

2 Aku mencintai kebijaksanaan dan mencarinya sejak masa mudaku. Kucintai keindahannya dan ingin menjadikannya mempelaiku.

3 Kebijaksanaan membanggakan asal usulnya yang mulia kerana bergaul dengan Allah, dan dikasihi Tuhan yang menguasai segala-galanya.

4 Kebijaksanaan tahu akan rahsia-rahsia Allah dan ikut menentukan setiap karya Tuhan.

5 Setiap orang ingin mengumpulkan kekayaan dalam hidupnya. Tetapi tidak ada yang lebih berharga daripada kebijaksanaan yang mengerjakan segala sesuatu.

6 Kepintaran kita sangat berguna. Tetapi tidak ada yang lebih unggul daripada kebijaksanaan yang membentuk segala yang ada.

7 Jika seseorang mencintai keadilan, maka semua kebajikan itu hasil kebijaksanaan, yakni: keadilan dan keberanian, penguasaan diri dan pengertian. Itulah yang paling berguna dalam hidup ini.

8 Orang yang menginginkan pengalaman yang banyak dapat memperolehnya, oleh sebab kebijaksanaan tahu akan yang dahulu dan menduga yang akan datang, mentafsirkan perkataan orang dan memecahkan persoalan, mengetahui keajaiban-keajaiban yang akan dilakukan Allah, dan bagaimana sejarah akan berkembang.

9 Oleh itu aku memutuskan untuk menjadikannya teman hidupku, kerana aku tahu bahawa kebijaksanaan akan menasihati dan menghibur aku dalam kesengsaraan dan kesusahan.

10 Berkat kebijaksanaan, aku akan dihormati oleh rakyat dan dihargai di kalangan orang tua-tua walaupun aku masih muda.

11 Akan nyata betapa tajamnya fikiranku dalam memberikan keputusan, dan aku akan dikagumi oleh para pembesar.

12 Kalau aku diam, mereka akan menunggu; kalau aku bercakap, mereka akan mendengarkannya. Bahkan kalau aku bercakap berkepanjangan, mereka akan mendengarkannya dengan kagum.

13 Kerana berkat kebijaksanaan, aku akan mendapat kehidupan kekal; aku akan diingat selama-lamanya oleh mereka yang menyusul aku.

14 Aku akan memerintah bangsa-bangsa, dan mereka akan takluk kepadaku.

15 Penindas-penindas yang menakutkan akan gementar apabila mendengar perihal aku. Aku akan terkenal sebagai raja yang baik dan pejuang yang gagah berani.

16 Apabila aku pulang, kebijaksanaan akan memberi ketenteraman kepadaku, oleh sebab hidup bersama-samanya tidak mengenal kepahitan atau kesedihan, melainkan kegembiraan dan kebahagiaan.

17 Semua itu kufikirkan dan kurenungkan. Hidup akrab dengan kebijaksanaan bererti memiliki kehidupan kekal.

18 Mencintainya memberi kebahagiaan sejati, dan melakukan pekerjaannya membuat orang kaya raya. Bergaul dengannya memberi pengertian, dan bercakap dengannya menjadikan orang terhormat. Maka aku bertekad menjadikannya teman hidupku.

19 Memang sejak kecil tubuhku sempurna dan jiwaku baik.

20 Atau lebih tepat, kerana aku baik, aku lahir dengan tubuh yang sihat.

21 Tetapi aku sedar bahawa aku tidak dapat memiliki kebijaksanaan kalau tidak dianugerahkan Tuhan kepadaku. Mengetahui siapa yang menganugerahkan kebijaksanaan, itu pun tanda pengertian. Maka aku berdoa dan mohon kepada Tuhan dengan sepenuh hati:

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19