Kebijaksanaan Salomo 7 BMDC

Raja Sama dengan Orang Biasa

1-2 Seperti orang lain aku pun manusia yang fana, keturunan orang pertama yang dibentuk daripada tanah. Aku dikandung daripada benih seorang lelaki dalam nikmat hubungan suami isteri. Sembilan bulan tubuhku dibentuk dalam darah rahim ibuku.

3 Aku lahir seperti manusia biasa dan menghirup udara yang sama dengan udara yang dihirup oleh semua manusia. Seperti setiap orang, suara pertama yang kuperdengarkan adalah suara tangisan.

4 Aku dibedung dengan kain dan dipelihara dengan kasih sayang.

5 Tidak ada raja yang mempunyai permulaan hidup yang berbeza,

6 oleh sebab jalan masuk dan keluar kehidupan adalah satu dan sama bagi semua orang.

Raja Salomo Mencintai Kebijaksanaan

7 Maka aku berdoa dan diberi pengertian; aku mohon dan roh kebijaksanaan dicurahkan ke dalam hatiku.

8 Aku lebih menghargainya daripada takhta dan mahkota. Dibandingkan dengan kebijaksanaan, harta kuanggap tidak bernilai.

9 Permata yang mahal tidak dapat disamakan dengannya; di hadapannya semua emas di dunia hanya segenggam pasir, dan perak hanya lumpur.

10 Aku menganggapnya lebih berharga daripada kesihatan dan rupa yang tampan. Aku lebih menyukainya daripada segala cahaya, kerana terang kebijaksanaan tidak pernah pudar.

11 Bersama kebijaksanaan kuperoleh segala harta; kebijaksanaan mendatangkan kekayaan berlimpah bagiku.

12 Dengan gembira kuterima semua itu kerana kebijaksanaanlah yang mengaturnya. Tetapi aku belum sedar bahawa semua itu berasal daripadanya.

13 Dengan tulus ikhlas aku belajar daripadanya, dan dengan rela aku membahagi-bahagikannya, dan kekayaannya tidak kusembunyikan.

14 Kebijaksanaan ialah harta yang tidak ada habisnya. Orang yang menggunakannya menjadi sahabat Allah, oleh sebab Allah berkenan kepada hasil kebijaksanaan.

15 Semoga Allah membolehkan aku bercakap dengan pengertian, dan fikiranku sesuai dengan pemberian-Nya kepadaku, kerana Allah sendiri menuntun orang bijaksana dan menegur kesalahan mereka,

16 oleh sebab kita dengan seluruh fikiran, perkataan, dan kecekapan kita ada di bawah kuasa-Nya.

17 Dia sendiri memberi aku pengertian yang tepat tentang susunan alam dan segala kekuatannya,

18 tentang awal, pertengahan, dan akhir zaman, tentang gerakan matahari dan musim yang silih berganti,

19 tentang pusingan tahun dan tempat bintang-bintang,

20 tentang sifat binatang dan naluri binatang buas, tentang kekuatan angin dan daya fikir manusia, tentang bermacam-macam tanaman dan khasiat akarnya.

21 Aku mempelajari hal-hal yang sudah diketahui mahupun yang masih tersembunyi kerana diajar oleh kebijaksanaan yang membentuk segala sesuatu.

Sifat Kebijaksanaan

22 Roh kebijaksanaan itu arif dan suci; dia tunggal tetapi banyak caranya dia menyatakan diri. Dia halus dan bergerak dengan bebas, jelas, bersih, terang, dan tidak dapat dirosak. Dia cerdas dan suka akan kebaikan.

23 Dia tidak terkalahkan, dia murah hati dan sayang kepada manusia. Dia boleh diharap, mantap, dan tidak kenal susah. Dia mengawasi dan menguasai segala-galanya serta menyelami semua roh arif dan murni, bahkan yang paling halus.

24 Kebijaksanaan lebih mudah bergerak daripada segala gerakan; kerana bersih, dia menembus segala sesuatu.

25 Kebijaksanaan ialah nafas kekuatan Allah, pancaran murni daripada kemuliaan Yang Maha Kuasa. Maka tiada sesuatu pun yang bernoda dapat menyusup ke dalamnya,

26 oleh sebab kebijaksanaan adalah pantulan cahaya abadi dan cermin sempurna bagi kegiatan dan kebaikan Allah.

27 Meskipun sendirian, kebijaksanaan mampu melakukan segalanya. Walaupun kebijaksanaan sendiri tidak berubah, kebijaksanaan membaharui semuanya. Turun-temurun kebijaksanaan masuk ke dalam jiwa orang suci dan menjadikan mereka nabi dan sahabat Allah.

28 Tidak ada orang yang lebih dikasihi Tuhan daripada orang yang hidupnya diresapi kebijaksanaan,

29 kerana kebijaksanaan lebih indah daripada matahari dan susunan bintang-bintang. Kebijaksanaan lebih baik daripada terang siang,

30 oleh sebab siang berganti malam, tetapi kebijaksanaan tidak dapat dikuasai oleh kejahatan.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19