1 Tetapi umat-Mu disinari cahaya yang terang. Musuh mendengar suara, tetapi tidak melihat rupa mereka. Mereka menyebut umat-Mu bahagia kerana tidak menderita.
2 Mereka bersyukur kerana orang Israel yang diperlakukan oleh mereka dengan kejam itu tidak membalas dendam, dan mereka meminta maaf terhadap permusuhan mereka.
3 Lalu Engkau membimbing umat-Mu melalui jalan-jalan yang belum dikenali oleh mereka. Sebagai penunjuk jalan Engkau memberi mereka sebuah tiang api. Api itu bersinar terang seperti matahari, tetapi tidak mengganggu mereka dalam perjalanan yang mulia itu.
4 Tetapi musuh mereka dikurung dalam kegelapan dan tidak diizinkan melihat cahaya. Itulah hukuman yang sesuai bagi mereka kerana mereka telah mengurung umat-Mu. Padahal umat-Mu harus menyampaikan cahaya abadi Taurat-Mu kepada dunia.
5 Selepas musuh memutuskan untuk membunuh anak-anak umat-Mu, ada seorang anak yang dibuang tetapi kemudian diselamatkan. Lalu Engkau menghukum musuh dengan membunuh banyak anak mereka. Engkau menumpaskan mereka dengan serentak di dalam air yang bergelora.
6 Tetapi nenek moyang kami sudah diberitahu sebelumnya apa yang akan terjadi pada malam itu. Dengan demikian mereka dapat bergembira kerana mendapat kepastian tentang janji-janji-Mu yang telah diimani oleh mereka.
7 Umat-Mu menjadi yakin bahawa Engkau menyelamatkan orang yang taat kepada-Mu dan membinasakan musuh-musuh mereka.
8 Dengan satu tindakan Engkau menghukum musuh kami dan memberi kami kemuliaan setelah memanggil kami menjadi umat-Mu.
9 Sementara itu umat-Mu, keturunan para leluhur yang baik, diam-diam mempersembahkan korban Paska. Mereka sama-sama berjanji akan mentaati hukum-Mu dan setia kawan dalam keadaan sejahtera mahupun dalam keadaan bahaya. Sebelumnya mereka telah menyanyikan lagu-lagu pujian para leluhur.
10 Tetapi lagu-lagu itu dijawab dengan tangisan yang sedih daripada musuh. Ratapan orang yang menangisi anak-anak mereka terdengar sehingga jauh.
11 Baik hamba mahupun tuan dihukum dengan seksaan yang sama. Raja dan rakyatnya sama-sama menderita.
12 Anak-anak mereka sekalian mati dengan cara yang sama. Jumlahnya tidak terhitung, sehingga orang yang hidup tidak cukup untuk menguburkan mereka, oleh sebab dengan satu pukulan anak-anak mereka yang paling berharga telah dibunuh.
13 Semua orang itu tidak percaya kepada apa pun kerana bergantung kepada ilmu sihir mereka. Tetapi sesudah anak-anak sulung mereka dibunuh, barulah mereka mengakui bangsa Israel sebagai anak-anak Allah.
14 Sementara segala sesuatu sunyi senyap, dan malam dalam peredarannya yang singkat sudah setengah berlalu,
15 tiba-tiba firman-Mu yang tidak terkalahkan itu bergegas dari takhta-Mu di syurga dan turun ke negeri yang malang itu. Datangnya seperti askar yang tidak kenal ampun.
16 Perintah-Mu yang tegas itu dijalankannya dengan memegang pedang yang tajam. Dia berdiri tegak, kakinya di bumi dan kepalanya sampai di langit, lalu menyebarkan maut di seluruh negeri.
17 Dengan serta-merta orang diganggu oleh bayangan mimpi yang mengerikan dan dicekam oleh ketakutan yang tiba-tiba.
18 Orang yang hampir mati bergelumang di mana-mana, sambil menyatakan apa sebabnya mereka mati.
19 Hal itu sudah diberitahukan kepada mereka dalam mimpi yang mengerikan itu, supaya mereka tidak mati tanpa mengetahui sebabnya mereka ditimpa bencana.
20 Maut juga mendatangi umat-Mu, kerana banyak antara mereka mati di padang gurun. Tetapi kemurkaan-Mu tidak berlangsung lama.
21 Harun, yang tidak bercela, segera maju untuk membela mereka. Sebagai imam, dia memanjatkan doa dan membakar kemenyan untuk mohon ampun terhadap dosa mereka. Dengan doa dan kemenyan sebagai senjata, dia menahan kemurkaan-Mu dan mengakhiri bencana itu. Dengan perbuatan itu dia menunjukkan bahawa dia hamba-Mu.
22 Dia meredakan kemurkaan-Mu bukan dengan tenaga jasmani atau dengan kekuatan senjata, melainkan dengan doa, dan mengingatkan Engkau akan perjanjian yang Kauberikan dengan sumpah kepada nenek moyang kami.
23 Mayat-mayat sudah tergeletak bertimbun-timbun, tetapi Harun berdiri di tengah-tengah untuk menahan kemurkaan-Mu dan mencegahnya membinasakan orang yang masih hidup.
24 Jubahnya yang panjang berhiaskan lambang-lambang alam semesta. Penutup dadanya bertatahkan empat baris batu permata yang diukir dengan nama-nama nenek moyang kami. Hiasan pada serbannya melambangkan keagungan-Mu.
25 Tanda-tanda itu membuat malaikat maut mundur ketakutan. Umat-Mu sudah merasai kemurkaan-Mu, dan pengalaman itu sudah cukup bagi mereka.