Kebijaksanaan Salomo 19 BMDC

Allah Menghukum Orang Mesir di Laut Gelagah

1 Tetapi kemurkaan-Mu yang tidak kenal ampun menimpa semua orang jahat itu sehingga penghabisan. Engkau sudah tahu sebelumnya apa yang akan dilakukan oleh mereka.

2 Engkau tahu bahawa orang Mesir mengizinkan umat-Mu pergi dan menyuruh mereka berangkat dengan cepat, tetapi akhirnya mereka akan mengubah fikiran dan mengejar umat-Mu.

3-4 Sementara orang Mesir masih berkabung dan meratap di kuburan orang mereka yang sudah mati, mereka lupa akan apa yang telah terjadi. Orang yang diminta dengan sangat supaya pergi dianggap pelarian, dan mereka membuat keputusan bodoh untuk mengejar umat-Mu. Mereka tergerak untuk berbuat begitu supaya mendapat sisa daripada hukuman dan seksaan yang layak bagi mereka.

5 Mereka mati dengan cara yang aneh sementara umat-Mu mengalami suatu perjalanan yang ajaib.

Allah Membimbing dan Melindungi Umat-Nya

6 Atas perintah-Mu, seluruh hukum alam diubah supaya umat-Mu tidak mendapat celaka.

7 Mereka melihat awan membayang perkhemahan mereka dan tanah kering muncul di tempat yang mula-mula penuh dengan air. Di antara ombak-ombak yang berbuih di Laut Gelagah nampaklah sebuah lapangan rumput hijau dan jalan yang tanpa rintangan.

8 Seluruh umat-Mu melihat mukjizat itu dan menyeberang di bawah perlindungan-Mu.

9 Mereka seperti kuda yang baru dilepaskan di padang rumput dan melonjak-lonjak seperti anak domba sambil memuji Engkau, ya Tuhan, yang telah menyelamatkan mereka.

10 Mereka masih ingat akan pengalaman mereka sebagai orang buangan ketika bumi membiakkan nyamuk ganti ternakan, dan sungai menghasilkan banyak sekali katak ganti ikan.

11 Kemudian ketika umat-Mu sangat merindukan makanan yang lazat, mereka nampak burung-burung yang belum dikenali oleh mereka.

12 Itulah burung puyuh yang datang dari laut untuk menguatkan mereka.

Orang Mesir Dihukum Lebih Berat daripada Orang Sodom

13 Sambaran petir yang dahsyat menandakan hukuman yang segera menimpa orang Mesir yang berdosa. Mereka mendapat hukuman yang setimpal dengan kejahatan mereka, kerana mereka sangat benci kepada orang asing.

14 Penduduk Sodom tidak mahu menerima pendatang yang tidak dikenali oleh mereka, tetapi orang Mesir malah memperhamba tetamu yang telah berbuat baik kepada mereka.

15 Penduduk Sodom dihukum kerana menyambut orang asing dengan permusuhan.

16 Tetapi mula-mula orang Mesir menyambut orang asing dengan perayaan-perayaan gembira dan memberikan hak yang sama kepada mereka, tetapi kemudian menyeksa mereka dengan kerja paksa yang kejam.

17 Oleh itu orang Mesir juga ditimpa kebutaan seperti orang Sodom yang datang ke rumah Lot, orang salih itu, ketika mereka diliputi kegelapan yang pekat dan harus meraba-raba untuk menemukan pintu rumah sendiri.

Kekuasaan Allah Menakjubkan

18 Setiap tali kecapi mempunyai nadanya sendiri, tetapi gabungan nada-nada itu dapat menghasilkan lagu yang berbeza-beza. Begitu juga unsur-unsur alam bergabung membentuk susunan yang baru. Hal itu nampak jelas kalau kita melihat apa yang telah terjadi:

19 Binatang darat mula hidup di dalam air dan binatang yang hidup di dalam air naik ke darat.

20 Bahkan api dapat menyala terus di dalam air, dan air lupa akan kemampuannya untuk memadamkan api.

21 Tetapi api itu tidak dapat membakar makhluk fana yang berjalan di dalamnya, dan tidak pula mencairkan makanan dari syurga yang biasanya mudah mencair seperti ais.

22 Ya Tuhan, dalam segala-galanya umat-Mu Kaujadikan agung dan mulia. Mereka tidak pernah Kauabaikan, melainkan selalu Kautolong di mana-mana.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19