Kebijaksanaan Salomo 3 BMDC

Nasib Orang Baik

1 Tetapi orang baik dilindungi Allah dan tidak akan ditimpa seksaan.

2 Sangka orang bodoh mereka mati, dan kematian mereka dianggap malapetaka.

3 Kepergian mereka daripada kita dianggap kehancuran, tetapi mereka ada dalam ketenteraman.

4 Walaupun menurut pandangan manusia mereka diseksa, namun harapan mereka penuh pada kehidupan kekal.

5 Sesudah diseksa sebentar, mereka mendapat anugerah besar, oleh sebab Allah hanya menguji mereka dan mendapati mereka layak bagi diri-Nya.

6 Dia menguji mereka seperti emas di dalam dapur api, lalu menerima mereka seperti korban yang menyenangkan hati-Nya.

7 Apabila Allah datang melindungi mereka, cahaya mereka akan berpijar dan membakar orang jahat seperti bunga api di ladang jerami.

8 Orang baik akan memerintah bangsa-bangsa, dan Tuhan menjadi raja mereka untuk selama-lamanya.

9 Orang yang percaya kepada Allah akan mengerti bahawa semua jalan Allah benar. Orang yang setia hidup dalam kasih Allah oleh sebab Dia berbelas kasihan dan murah hati kepada orang pilihan-Nya.

Nasib Orang Jahat

10 Tetapi orang jahat akan dihukum, sesuai dengan fikiran mereka, oleh sebab mereka telah memberontak terhadap Tuhan dan tidak menghiraukan yang benar.

11 Orang yang tidak menghiraukan kebijaksanaan dan pendidikan menghadapi kehidupan yang penuh sengsara tanpa harapan. Segala usaha mereka sia-sia dan semua jerih payah mereka tidak berguna.

12 Isteri mereka tidak tahu akan tanggungjawab dan anak-anak mereka sesat. Keturunan mereka hidup tanpa berkat.

Kebajikan Lebih Baik daripada Mempunyai Keturunan

13 Berbahagialah wanita mandul yang hidup tidak bercela. Pada Hari Penghakiman mereka akan mendapat ganjaran.

14 Pada hari itu lelaki yang dikembiri pun akan dianugerahkan kebahagiaan, asal mereka telah mentaati semua Taurat Musa dan tidak merancang yang jahat terhadap Tuhan. Kerana kesetiaan mereka, mereka mendapat pahala istimewa dan tempat yang bahagia di kediaman Tuhan.

15 Perbuatan baik seperti pokok yang menghasilkan buah yang mulia, dan kebijaksanaan seperti akar yang selalu menunjang kehidupan.

16 Tetapi anak yang lahir daripada zina atau hubungan terlarang akan mati dan tidak mencapai umur dewasa.

17 Sekalipun mereka panjang umur, mereka dianggap remeh dan tidak dihormati pada masa tua mereka.

18 Kalau mereka lekas mati, mereka tidak punya harapan, dan pada Hari Penghakiman tidak ada hiburan bagi mereka.

19 Anak yang lahir daripada hubungan terlarang mengalami nasib yang malang.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19