Kebijaksanaan Salomo 14 BMDC

Patung Berhala daripada Kayu Dibandingkan dengan Kapal Nuh

1 Begitu juga orang yang mahu belayar mengharungi lautan yang bergelora. Dia berdoa kepada sepotong kayu yang lebih rapuh daripada kapal yang ditumpanginya.

2 Kapal itu dirancangkan oleh seorang yang mencari keuntungan, lalu dibina oleh seorang tukang dengan kemahirannya.

3 Tetapi pemeliharaan-Mu itulah yang mengemudikannya, ya Bapa, oleh sebab Engkau memberinya jalan yang aman melalui ombak-ombak di laut.

4 Tanpa kepandaian pun orang dapat belayar, oleh sebab Engkau telah membuktikan bahawa Engkau dapat menyelamatkan orang daripada segala mara bahaya.

5 Engkau tidak menghendaki karya-karya kebijaksanaan-Mu tidak berhasil. Itulah sebabnya orang mempercayakan hidupnya kepada sepotong kayu yang amat hina dan dengan rakit mengharungi lautan yang bergelora sampai kembali ke daratan dengan selamat.

6 Begitu juga pada zaman purba ketika bangsa raksasa yang bongkak dimusnahkan. Yang menjadi harapan dunia menyelamatkan diri di atas rakit; Engkau mengemudikannya dengan kekuatan-Mu dan menjamin bakal keturunan manusia untuk masa depan,

7 oleh sebab Engkau memberkati kapal kayu Nuh yang mendatangkan kebenaran.

8 Tetapi Engkau mengutuk patung berhala buatan manusia, kerana benda yang fana itu disebut Allah. Engkau juga mengutuk orang yang membuatnya kerana pekerjaannya itu.

9 Seorang jahat dan hasil kejahatannya sama-sama dibenci Allah,

10 dan Dia akan menghukum orang itu mahupun barang buatannya.

11 Oleh itu berhala-berhala bangsa lain juga kena hukuman Allah, oleh sebab di tengah ciptaan Allah berhala-berhala menjadi benda keji, batu sandungan untuk manusia dan perangkap bagi orang bodoh.

Asal Usul Penyembahan Berhala

12 Dengan penemuan berhala mulailah pencabulan, dan sejak itu juga rosaklah kehidupan manusia.

13 Berhala itu tidak wujud pada permulaannya, dan tidak akan wujud untuk selama-lamanya.

14 Berhala muncul di dunia kerana angan-angan manusia, maka itulah sebabnya kesudahannya yang segera telah dirancang.

15 Ada seorang bapa yang ditimpa kesedihan besar kerana kematian anaknya. Maka dibuatnya patung menyerupai anaknya yang meninggal sebelum waktunya. Manusia yang tadinya mayat, dihormatinya sebagai tuhan dan orang bawahannya diperintahkan supaya mengadakan kebaktian dan upacara.

16 Lama kelamaan kebiasaan jahat itu semakin kuat dan dijadikan undang-undang. Dengan perintah para penguasa, patung-patung pahatan disembah.

17 Orang yang tinggal jauh dari raja dan tidak dapat menghormati baginda secara langsung, membayangkan rupa raja yang dihormati oleh mereka, lalu membuat gambaran yang nyata. Dengan demikian mereka dapat dengan rajin merayu baginda, seolah-olah baginda hadir antara mereka.

18 Seniman yang gila hormat menggalakkan dan mengembangkan pemujaan itu bahkan antara orang yang tidak mengenal raja itu.

19 Seniman yang barangkali ingin mengambil hati raja, membuat gambaran yang lebih indah daripada orangnya.

20 Karya seni itu memikat hati rakyat sehingga yang mula-mula dihormati sebagai manusia, sekarang dianggap patut dipuja.

21 Hal itu menjadi perangkap bagi manusia, kerana orang yang tertekan oleh malapetaka atau tertindas di bawah kekuasaan raja, mengambil barang-barang daripada batu dan kayu dan menghormatinya sebagai Allah.

Akibat Penyembahan Berhala

22 Selanjutnya, belum cukup bahawa mereka sesat dalam pendapat mereka tentang Allah. Sementara hidup dalam pergelutan kerana kebodohan mereka, keadaan buruk itu disebut oleh mereka sebagai damai.

23 Mereka mengadakan upacara-upacara perlantikan disertai pembunuhan anak-anak, atau upacara-upacara ghaib yang penuh rahsia, atau perjamuan kegila-gilaan disertai adat istiadat yang ganjil.

24 Mereka tidak lagi memelihara kesucian kehidupan dan perkahwinan, melainkan saling membunuh dengan curang atau saling menyusahkan dengan zina.

25 Di mana-mana merajalela pembunuhan dan pertumpahan darah, perompakan, penipuan, rasuah, tipu muslihat, kekacauan dan sumpah dusta,

26 gangguan terhadap orang baik, tidak tahu berterima kasih, kemerosotan akhlak, pencabulan, perceraian, zina, dan kejahatan.

27 Pemujaan berhala yang namanya tidak patut disebut merupakan awal dan akhir, serta sebab dan akibat daripada setiap kejahatan.

28 Pemuja-pemuja berhala tidak mengawal diri kerana keghairahan. Ada yang meramalkan kebohongan dan ada pula yang hidup jahat atau bersumpah dusta.

29 Oleh sebab mereka percaya kepada berhala-berhala yang tidak bernyawa, mereka tidak menyangka akan dihukum kerana bersumpah dusta.

30 Tetapi akhirnya mereka akan dihukum juga kerana dua alasan. Pertama, kerana mereka mempunyai fikiran salah tentang Allah dengan memuja berhala. Kedua, kerana mereka meremehkan kesucian dengan bersumpah dusta untuk menipu orang.

31 Kalau orang jahat berbuat dosa, mereka pasti dihukum, bukan kerana kekuasaan berhala yang diberi sumpah, tetapi kerana sebagai orang yang berdosa mereka layak dihukum.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19