Kebijaksanaan Salomo 6 BMDC

Tanggungjawab Para Penguasa

1 Hai raja-raja dan para penguasa di seluruh bumi, dengarlah perkataanku dan belajarlah sehingga mengerti.

2 Perhatikanlah, hai kamu yang memerintah banyak orang dan berasa bangga kerana banyak bangsa tunduk kepada kamu,

3 oleh sebab kuasa telah kamu terima daripada Tuhan Yang Maha Tinggi. Dia akan menyelidik semua perbuatan kamu dan meneliti segala rancangan kamu.

4 Kamu seharusnya menjalankan pemerintahan Tuhan. Tetapi kamu tidak memerintah dengan adil, tidak menepati hukum dan tidak melakukan kehendak Allah.

5 Oleh itu kamu akan segera diperlakukan dengan keras oleh Tuhan, kerana bagi penguasa, hukumannya berat.

6 Kalau orang bawahan membuat kesalahan, mereka mudah diampuni kerana belas kasihan. Tetapi kesalahan penguasa dihukum dengan berat.

7 Tuhan yang berkuasa terhadap segala-galanya tidak takut kepada sesiapa pun dan tidak peduli akan kebesaran orang mana pun. Dia mencipta yang besar dan yang kecil, dan semuanya dipelihara-Nya dengan cara yang sama.

8 Tetapi orang yang berkuasa diperiksa dengan saksama.

9 Jadi kata-kata ini kutujukan kepada kamu, para penguasa, supaya kamu belajar bertindak dengan bijaksana dan menghindar kesalahan,

10 oleh sebab orang yang dengan suci melakukan hukum-hukum yang suci akan dinyatakan suci. Orang yang menjadi terpelajar dalam hal itu akan dibela di Pengadilan kelak.

11 Jadi inginkanlah dan rindukanlah ajaranku, maka kamu akan menjadi orang yang terdidik.

Nilai Kebijaksanaan

12 Kebijaksanaan bersinar dengan terang dan tidak dapat menjadi pudar. Orang yang mencintai dan mencarinya akan mudah menemukannya.

13 Kebijaksanaan segera memperkenalkan diri kepada orang yang merindukannya.

14 Orang yang bangun pagi-pagi untuk mencari kebijaksanaan tidak perlu bersusah payah, oleh sebab mereka akan menemukannya di hadapan pintu.

15 Orang yang merenungkan kebijaksanaan akan mendapat pengertian sempurna. Orang yang tanpa lelah mencari kebijaksanaan akan segera berasa tenteram,

16 oleh sebab kebijaksanaan sendiri berkeliling mencari orang yang layak memilikinya. Kebijaksanaan suka memperlihatkan diri kepada orang di mana pun mereka berada, dan menjumpai mereka dalam setiap fikiran mereka.

17 Kebijaksanaan mulai pada saat orang sungguh-sungguh ingin belajar; orang yang mempunyai minat untuk belajar mencintai kebijaksanaan.

18 Mencintainya bererti mentaati hukum-hukumnya, dan mentaati hukum-hukumnya menjamin kehidupan kekal.

19 Kehidupan kekal mendekatkan manusia dengan Allah.

20 Keinginan akan kebijaksanaan menyiapkan orang untuk memerintah.

21 Oleh itu, hai para penguasa bangsa, jika kamu menyukai kepimpinan dan kekuasaan kamu, hargailah kebijaksanaan supaya kamu dapat memerintah selama-lamanya.

Raja Salomo Ingin Mengajarkan Kebijaksanaan

22 Aku akan menceritakan apakah kebijaksanaan itu dan dari mana asalnya. Aku tidak akan merahsiakan apa-apa. Seluruh kisahnya akan kuselidiki dari permulaan dan seluruh kebenarannya akan kunyatakan supaya setiap orang dapat mengetahuinya.

23 Aku tidak mahu merahsiakannya bagi orang lain, oleh sebab sikap cemburu seperti itu berlawanan dengan kebijaksanaan.

24 Semakin banyak orang bijaksana, semakin selamat pula dunia. Raja yang arif memberi kesejahteraan kepada rakyatnya.

25 Jadi terimalah ajaranku supaya bermanfaat bagi kamu nanti.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19