17 Sesuatu yang sangat aneh terjadi: air yang biasanya memadamkan api, malah membuatnya semakin berkobar. Seluruh kekuatan alam berjuang untuk membela orang jujur.
18 Ada kalanya nyala api itu tertahan supaya tidak membakar binatang-binatang yang dikirim untuk membinasakan orang jahat. Apabila melihat hal itu mereka harus menyedari bahawa mereka dikejar hukuman Allah.
19 Tetapi pada saat lain, di tengah-tengah hujan, menyambarlah kilat yang melebihi api untuk menghanguskan hasil ladang orang jahat.
20 Tetapi umat-Mu tidak tertimpa bencana. Sebaliknya, mereka Kauberi makanan malaikat. Dari syurga, Engkau menurunkan roti yang siap untuk dimakan, dan mereka tidak perlu menyiapkannya. Roti itu sangat sedap dan sesuai benar dengan selera setiap orang.
21 Rezeki yang Kauberikan itu menunjukkan kasih sayang-Mu kepada anak-anak-Mu. Makanan itu sesuai dengan keinginan setiap orang untuk memuaskan selera masing-masing.
22 Makanan itu hilang apabila kena sinar matahari, tetapi dapat tahan dalam panas api. Hal itu Kaulakukan supaya umat-Mu menyedari bahawa hasil tuaian musuh dibinasakan oleh api yang berkobar dalam hujan batu dan badai.
23 Tetapi api itu tertahan kekuasaannya supaya umat yang taat kepada-Mu mendapat makanan.