Yeremia 11 BM

Yeremia dan Perjanjian TUHAN

1 TUHAN berfirman kepadaku,

2 “Perhatikanlah syarat-syarat perjanjian yang Aku buat dengan umat-Ku. Beritahulah penduduk Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa

3 Aku, TUHAN, Allah Israel, mengutuk setiap orang yang tidak mentaati syarat-syarat perjanjian itu.

4 Aku telah membuat perjanjian itu dengan nenek moyang mereka apabila Aku memimpin mereka keluar dari Mesir, negeri yang seperti neraka bagi mereka. Aku menyuruh mereka taat kepada-Ku dan melakukan segala yang telah Kuperintahkan. Aku memberitahu mereka bahawa jika mereka taat kepada-Ku, mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka.

5 Jika mereka melakukan semuanya, Aku akan menepati janji-Ku kepada nenek moyang mereka bahawa negeri yang subur dan makmur, yang sekarang didiami oleh mereka, akan Kuberikan kepada mereka.”Aku menjawab, “Baiklah, TUHAN.”

6 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah ke kota-kota di Yehuda dan ke jalan-jalan di Yerusalem. Isytiharkanlah perkhabaran-Ku kepada orang di sana dan suruh mereka memperhatikan serta mentaati syarat-syarat perjanjian.

7 Ketika Aku memimpin nenek moyang mereka keluar dari Mesir, dengan tegas Aku memperingatkan mereka supaya taat kepada-Ku. Sampai hari ini pun Aku masih memperingatkan umat-Ku tentang hal itu,

8 tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu taat. Malahan mereka tetap degil dan jahat seperti dahulu. Aku telah memerintahkan mereka mentaati perjanjian, tetapi mereka tidak mahu. Oleh itu, Aku menimpai mereka segala hukuman yang disebut dalam perjanjian itu.”

9 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Penduduk Yehuda dan Yerusalem telah berkomplot untuk melawan Aku.

10 Mereka telah melakukan dosa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka yang tidak mahu taat kepada-Ku; mereka menyembah tuhan-tuhan lain. Baik Israel mahupun Yehuda telah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka.

11 Oleh itu, Aku TUHAN, memperingatkan mereka bahawa Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka dan mereka tidak akan terlepas daripadanya. Jika mereka berseru minta tolong kepada-Ku, Aku tidak mahu mendengarkan mereka.

12 Kemudian penduduk Yehuda dan Yerusalem akan pergi minta tolong kepada tuhan-tuhan lain yang dipuja mereka dengan mempersembahkan korban. Tetapi tuhan-tuhan itu tidak akan mampu menyelamatkan mereka pada waktu malapetaka itu tiba.

13 Tuhan-tuhan penduduk Yehuda banyak sekali, sebanyak kota mereka. Penduduk Yerusalem mendirikan mazbah untuk mempersembahkan korban kepada Dewa Baal yang menjijikkan itu; mazbah yang didirikan mereka sebanyak jalan-jalan di Yerusalem.

14 Hai Yeremia, jangan berdoa untuk mereka atau minta tolong kepada-Ku untuk mereka! Apabila mereka dalam kesusahan dan minta tolong kepada-Ku, Aku tidak akan mendengarkan mereka.”

15 TUHAN berfirman, “Umat-Ku yang Kukasihi telah melakukan hal-hal yang jahat. Mereka tidak berhak berada di Rumah TUHAN. Mereka menyangka bahawa dengan membuat janji-janji, dan dengan mempersembahkan binatang, mereka dapat mencegah malapetaka. Adakah dengan perbuatan itu mereka dapat bergembira?

16 Aku pernah menamakan mereka pokok zaitun yang rimbun, penuh dengan buah yang baik. Tetapi sekarang, dengan suara gemuruh, Aku akan membakar daun-daunnya dan Aku mematahkan semua rantingnya.

17 Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah mendirikan Israel dan Yehuda. Tetapi sekarang, Aku mengancam untuk mendatangkan malapetaka kepada mereka. Mereka sendiri telah menyebabkan semua itu menimpa mereka, kerana mereka telah melakukan kejahatan. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan mempersembahkan korban kepada Baal.”

Komplot untuk Membunuh Yeremia

18 TUHAN memberitahu aku tentang komplot musuh-musuhku terhadap aku.

19 Aku seperti domba tanpa curiga yang dibawa ke tempat pembantaian. Aku tidak tahu bahawa akulah yang menjadi sasaran komplot mereka. Mereka berkata, “Marilah kita tebang pokok itu sementara pokok itu masih subur; marilah kita bunuh dia supaya namanya dilupakan orang.”

20 Kemudian aku berdoa, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkau hakim yang adil; Engkau menguji fikiran dan hati orang. Aku menyerahkan perkaraku ke dalam tangan-Mu; oleh itu biarlah aku menyaksikan pembalasan-Mu terhadap perbuatan semua orang itu.”

21 Penduduk Anatot ingin supaya aku mati. Mereka berkata, “Jika engkau terus mengisytiharkan perkhabaran TUHAN, kami akan membunuh engkau.”

22 Oleh itu, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan menghukum mereka! Pemuda mereka akan terbunuh dalam peperangan dan anak-anak mereka akan mati kebuluran.

23 Aku telah menentukan masanya untuk mendatangkan malapetaka kepada penduduk Anatot; apabila masanya tiba, tiada seorang pun akan terselamat.”