1 Pada bulan kesepuluh, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilonia datang menyerang Yerusalem dengan seluruh angkatan tenteranya.
2 Pada hari kesembilan, bulan keempat, tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia, musuh berjaya menembusi tembok kota.(
3 Apabila Yerusalem direbut, semua pegawai tinggi raja Babilonia datang dan duduk di Pintu Gerbang Tengah. Antara mereka ialah Nergal-Sarezer, Samgar-Nebo, Sarsekim, pengurus istana, dan Nergal-Sarezer Rabmag.)
4 Apabila Raja Zedekia dan semua tenteranya nampak kejadian itu, mereka cuba lari dari kota itu pada malam hari. Mereka keluar melalui taman istana dan pintu gerbang yang menghubungkan kedua-dua tembok di tempat itu, lalu lari ke arah Lembah Yordan.
5 Tetapi tentera Babilonia mengejar mereka dan menangkap Raja Zedekia di dataran dekat Yerikho. Mereka membawa baginda menghadap Raja Nebukadnezar yang ketika itu berada di kota Ribla di daerah Hamat. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepadanya.
6 Di kota Ribla juga putera-putera Raja Zedekia dibunuh di depan mata Raja Zedekia sendiri, dan semua pegawai kerajaan Yehuda pun dibunuh.
7 Selepas itu mata Raja Zedekia dicungkil, lalu baginda dibelenggu dan dibawa ke Babilonia.
8 Sementara itu orang Babilonia membakar istana raja dan rumah-rumah rakyat, serta merobohkan tembok Yerusalem.
9 Akhirnya, Nebuzaradan, panglima tentera itu, membawa penduduk yang masih di kota ke Babilonia sebagai orang tawanan. Dia juga membawa semua orang yang telah memihak kepadanya, ke Babilonia.
10 Dia meninggalkan beberapa orang yang sangat miskin di Yehuda, mereka yang tidak memiliki apa-apa, lalu dia memberi mereka ladang anggur dan ladang.
11 Raja Nebukadnezar telah menyuruh Nebuzaradan, panglima tentera itu, mengeluarkan perintah demikian,
12 “Pergilah mencari Yeremia dan layanilah dia dengan baik. Jangan cederakan dia, tetapi kabulkanlah apa sahaja permintaannya.”
13 Oleh itu Nebuzaradan, bersama dengan pegawai tinggi yang bernama Nebusyazban dan Nergal-Sarezer, serta semua pegawai raja Babilonia,
14 mengambil aku dari halaman istana. Mereka menyerahkan aku kepada penjagaan Gedalya anak Ahikam, cucu Safan, yang harus menghantarkan aku pulang dengan selamat. Oleh itu aku tinggal di situ bersama-sama rakyat.
15 Ketika aku masih dipenjarakan di halaman istana dahulu, TUHAN menyuruh aku
16 memberitahu Ebed-Melekh, orang Etiopia itu, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman demikian, “Sebagaimana yang Aku firmankan dahulu, Aku akan mendatangkan kemusnahan dan bukan kemakmuran ke kota itu. Apabila perkara itu berlaku kelak, engkau akan berada di sini untuk menyaksikannya.
17 Tetapi Aku, TUHAN akan melindungi engkau, dan engkau tidak akan diserahkan kepada orang yang engkau takuti.
18 Aku akan menyelamatkan engkau, dan engkau tidak akan dibunuh. Engkau akan selamat kerana engkau percaya kepada-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”