1 Pada bulan ketujuh tahun itu, Ismael anak Netanya, cucu Elisama, bersama dengan sepuluh orang pergi ke Mizpa untuk menghadap Gedalya. Ismael seorang kerabat diraja, dan pegawai tinggi raja. Sedang mereka makan bersama-sama,
2 Ismael dan sepuluh orang yang bersertanya itu menghunus pedang lalu membunuh Gedalya.
3 Ismael juga membunuh semua orang Israel yang bersama dengan Gedalya di Mizpa, dan askar-askar Babilonia yang kebetulan berada di situ.
4 Esok harinya, sebelum sesiapa pun mengetahui pembunuhan Gedalya itu,
5 lapan puluh orang tiba dari Sikhem, Silo, dan Samaria. Mereka telah mencukur janggut, mengoyakkan pakaian dan meluka-lukakan badan. Mereka sedang membawa gandum dan kemenyan untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN.
6 Oleh itu Ismael keluar dari Mizpa dan pergi menemui mereka. Dia menangis sambil berkata kepada mereka, “Mari lihat Gedalya.”
7 Sebaik sahaja mereka berada di dalam kota itu, Ismael dan semua orangnya membunuh mereka, dan membuang mayat mereka ke dalam sebuah perigi.
8 Tetapi ada sepuluh orang antara mereka yang berkata kepada Ismael, “Tolonglah, jangan bunuh kami! Kami mempunyai gandum, barli, minyak zaitun, dan madu yang tersembunyi di ladang.” Oleh itu Ismael melepaskan mereka.
9 Perigi tempat Ismael membuang mayat-mayat orang yang telah dibunuhnya itu perigi besar; perigi itulah yang telah digali oleh Raja Asa ketika baginda diserang oleh Raja Baesa dari Israel. Ismael memenuhi perigi itu dengan mayat.
10 Kemudian Ismael menangkap para puteri raja dan semua orang yang berada di Mizpa, yang telah diserahkan oleh Nebuzaradan, panglima tentera itu, ke bawah penjagaan Gedalya. Ismael menangkap mereka lalu berangkat dengan mereka ke arah wilayah Amon.
11 Yohanan dan semua pemimpin askar yang bersama-samanya mendengar tentang jenayah yang telah dilakukan oleh Ismael.
12 Oleh itu mereka dengan anak buah mereka mengejar Ismael lalu menangkap dia dekat sebuah kolam besar di Gibeon.
13 Apabila orang tawanan Ismael nampak Yohanan dan pemimpin-pemimpin askar itu, mereka gembira.
14 Mereka berpaling lalu lari kepada rombongan Yohanan.
15 Tetapi Ismael dan lapan orang anak buahnya melepaskan diri daripada Yohanan dan lari ke negeri Amon.
16 Kemudian Yohanan dan para pemimpin askar yang bersama-samanya mengumpulkan orang yang ditawan oleh Ismael di Mizpa setelah dia membunuh Gedalya - askar, wanita, anak-anak, dan sida-sida yang menjadi para pegawai istana.
17-18 Mereka semua takut kepada orang Babilonia kerana Ismael telah membunuh Gedalya yang dilantik oleh raja Babilonia sebagai gabenor. Oleh itu mereka berangkat menuju ke Mesir untuk melarikan diri daripada orang Babilonia. Di tengah perjalanan, mereka berhenti di Kimham dekat Betlehem.