Yeremia 51 BM

Hukuman Lain atas Babilonia

1 TUHAN berfirman, “Aku sedang mendatangkan angin yang memusnahkan ke arah Babilonia dan penduduknya.

2 Aku akan mengirim orang bangsa asing untuk memusnahkan Babilonia seperti angin yang meniupkan jerami. Apabila hari kemusnahan itu tiba, mereka akan menyerang dari segala arah, lalu menjadikan negeri itu kosong.

3 Jangan berikan peluang kepada askarnya untuk memanah atau mengenakan baju zirah. Jangan biarkan kaum pemudanya hidup! Binasakanlah seluruh angkatan tenteranya!

4 Mereka akan cedera dan mati di jalan-jalan kota mereka.

5 Aku TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, belum meninggalkan Israel dan Yehuda, walaupun mereka telah berdosa terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel.

6 Larilah dari Babilonia! Selamatkanlah diri kamu! Jangan terbunuh kerana dosa orang Babilonia. Sekarang Aku sedang membalas dendam-Ku dan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.

7 Dahulu Babilonia seperti cawan emas dalam tangan-Ku, dan menyebabkan semua bangsa di bumi mabuk. Bangsa-bangsa minum wain dari cawan itu sehingga mereka menjadi gila.

8 Tiba-tiba Babilonia jatuh dan musnah! Berkabunglah kerana kejatuhannya! Ubatilah luka-lukanya, dan mungkin Babilonia akan sembuh.

9 Orang bangsa asing yang tinggal di situ berkata, ‘Kami cuba menolong Babilonia, tetapi sudah terlambat. Tinggalkanlah Babilonia dan marilah pulang. Allah telah menghukum Babilonia dengan berat dan memusnahkannya sama sekali.’ ”

10 TUHAN berfirman, “Umat-Ku berseru, ‘TUHAN telah menunjukkan bahawa kita benar. Marilah kita beritahu penduduk Yerusalem apa yang telah dilakukan oleh TUHAN, Allah kita.’ ”

11 TUHAN telah menggerakkan hati raja-raja Media kerana Dia hendak memusnahkan Babilonia. Demikianlah caranya Dia membalas dendam kerana Rumah-Nya telah dimusnahkan.TUHAN memberikan perintah, “Tajamkanlah panah! Siapkanlah perisai!

12 Berikanlah isyarat untuk menyerang tembok kota Babel. Kuatkanlah pengawalan! Tugaskanlah askar-askar di tempat masing-masing! Adanglah musuh!”TUHAN telah melakukan apa yang difirmankan-Nya tentang orang Babilonia.

13 Negeri itu sangat kaya dan sungainya banyak, tetapi kesudahannya sudah tiba dan masa hidupnya sudah habis.

14 TUHAN Yang Maha Kuasa telah bersumpah demi diri-Nya sendiri bahawa Dia akan mendatangkan orang sebanyak sekawanan belalang untuk menyerang Babilonia, dan mereka akan meneriakkan sorak kemenangan.

Lagu Pujian kepada Allah

15 TUHAN menciptakan bumi dengan kuasa-Nya;Dia menciptakan dunia dengan hikmat-Nya,dan membentangkan langit dengan pengertian-Nya.

16 Atas perintah-Nya air di atas langit menderu;Dia mendatangkan awan dari hujung bumi.Dia menyebabkan kilat memancar di dalam hujan,dan mengeluarkan angin dari tempat penyimpanan.

17 Melihat semua itu, manusia tertegun dan berasa bodoh;orang yang membuat berhala kecewakerana dewa-dewa itu palsu dan tidak bernyawa.

18 Dewa-dewa itu tidak berguna dan harus dihina;semua itu akan dimusnahkanapabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman.

19 Allah Yakub tidak seperti dewa-dewa itu;Dialah pencipta segala sesuatu,dan Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya sendiri.Nama-Nya ialah TUHAN Yang Maha Kuasa.

Babilonia Bagaikan Tukul

20 TUHAN berfirman,“Hai Babilonia, engkau bagaikan tukul-Ku dan senjata perang-Ku.Aku menggunakan engkau untuk menghancurkan bangsa-bangsa,

21 untuk menghancurkan kuda dan penunggangnya,untuk menghancurkan kereta kuda dan pengenderanya,

22 untuk membunuh lelaki dan wanita,untuk membinasakan orang tua dan orang muda,untuk membunuh anak lelaki dan anak perempuan,

23 untuk menyembelih gembala dan kawanan domba,untuk menyembelih pembajak dan kuda mereka,untuk meremukkan para penguasa dan pegawai mereka.”

Hukuman terhadap Babilonia

24 TUHAN berfirman, “Engkau akan melihat Aku membalas Babilonia dan penduduknya bagi segala kejahatan yang dilakukan mereka terhadap Yerusalem.

25 Hai Babilonia, engkau bagaikan gunung yang memusnahkan seluruh dunia, tetapi Aku, TUHAN ialah musuhmu. Aku akan mengacungkan tangan untuk meratakan engkau dan membiarkan engkau terbakar sehingga menjadi abu.

26 Tiada satu batu pun daripada runtuhanmu akan digunakan semula sebagai bahan binaan. Engkau akan menjadi seperti gurun selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

27 “Berikanlah tanda untuk berperang! Tiuplah trompet supaya didengar oleh bangsa-bangsa! Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia! Suruhlah kerajaan Ararat, Mini, dan Askenas berperang. Lantiklah seorang pegawai tentera untuk memimpin serangan itu. Kerahkanlah kuda yang sebanyak kawanan belalang!

28 Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia. Panggillah raja-raja Media, para pemimpin dan pegawai tentera mereka, dan juga tentera semua negeri di bawah jajahan mereka.

29 Bumi bergoncang dan bergoyang kerana TUHAN sedang melaksanakan rancangan-Nya untuk menjadikan Babilonia gurun, tempat yang tidak didiami manusia.

30 Askar-askar Babilonia tidak lagi berperang. Mereka telah hilang keberanian, dan sedang bersembunyi di dalam kubu-kubu; mereka takut seperti perempuan. Pintu gerbang kota telah dirobohkan dan rumah-rumah terbakar.

31 Para utusan susul-menyusul untuk memberitahu raja Babilonia bahawa kotanya telah ditembusi dari setiap penjuru.

32 Musuh telah merebut tempat penyeberangan sungai dan membakar kubu-kubu pertahanan. Askar-askar Babilonia cemas.

33 Tidak lama lagi musuh akan mengalahkan mereka dan memijak-mijak mereka seperti orang memijak-mijak gandum di tempat mengirik gandum. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman.”

34 Raja Babilonia telah memotong-motong Yerusalemdan memakannya.Dia mengosongkan kota itu seperti orang mengosongkan tempayan.Seperti raksasa, dia menelan kota itu.Dia mengambil apa yang disukainya,dan yang lain dibuangnya.

35 Hendaklah penduduk Sion berkata,“Biarlah Babilonia ditimpa keganasan yang dilakukannya terhadap kita!”Hendaklah penduduk Yerusalem berkata,“Biarlah Babilonia ditimpa penderitaan yang ditimpakannya kepada kita!”

TUHAN akan Menolong Israel

36 Oleh itu TUHAN berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Aku akan membela perkaramu dan membalas musuh kamu atas perbuatan mereka terhadap kamu. Aku akan mengeringkan sumber-sumber air di Babilonia dan mengeringkan sungai-sungainya.

37 Negeri itu akan menjadi timbunan runtuhan yang didiami binatang liar. Keadaannya akan mengerikan; orang tidak akan tinggal di situ, dan semua orang ngeri melihatnya.

38 Penduduk Babilonia mengaum seperti singa, dan menggeram seperti anak singa.

39 Sementara nafsu makan mereka memuncak, Aku akan menjamu mereka, dan menjadikan mereka mabuk dan pening. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi.

40 Aku akan membawa mereka supaya disembelih seperti anak domba, domba jantan, dan kambing. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

Kesudahan Babel

41 TUHAN berfirman, “Kota yang dipuji oleh seluruh bumi telah ditawan! Babel sudah menjadi tempat yang menggerunkan bagi bangsa-bangsa!

42 Laut telah meluap ke Babel dan meliputinya dengan ombak yang bergemuruh.

43 Kota-kota di negeri itu menggerunkan; keadaannya seperti gurun yang tidak berair, yang tidak didiami atau dilalui oleh sesiapa pun.

44 Aku akan menghukum Bel, dewa negeri Babilonia, dan membuatnya menyerahkan barang-barang curiannya. Bangsa-bangsa tidak akan menyembahnya lagi.Tembok kota Babel sudah roboh.

45 Hai umat Israel, larilah dari situ! Selamatkanlah diri daripada kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar.

46 Jangan takut atau hilang keberanian kerana mendengar khabar angin. Setiap tahun ada sahaja khabar angin - khabar angin tentang keganasan di dalam negeri dan tentang raja-raja yang saling berperang.

47 Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala Babilonia. Seluruh negeri itu akan dipermalukan, dan semua rakyatnya dibunuh.

48 Segala sesuatu di bumi dan di langit akan bersorak apabila negeri Babilonia jatuh ke tangan bangsa dari utara yang datang untuk memusnahkannya.

49 Babilonia telah menyebabkan kematian orang dari seluruh dunia; tetapi sekarang Babilonia akan jatuh, kerana menyebabkan kematian banyak sekali orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

Perkhabaran Allah kepada Umat Israel di Babilonia

50 TUHAN berfirman kepada umat-Nya di Babilonia, “Kamu telah terlepas daripada maut. Sekarang larilah! Jangan tunggu lagi! Walaupun kamu jauh dari rumah, ingatlah Aku, TUHAN kamu, dan kenangilah Yerusalem.

51 Kamu berkata, ‘Kami telah dihina dan dipermalukan; kami tidak berdaya sama sekali kerana orang bangsa asing telah menduduki bilik-bilik suci di Rumah TUHAN.’

52 Oleh itu perhatikanlah firman-Ku ini. Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala kota Babel. Semua orang yang cedera akan mengerang di seluruh negeri.

53 Walaupun Babel dapat naik ke langit dan membina sebuah kubu yang kuat di situ, Aku masih akan menyuruh orang menghancurkannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

Lanjutan Penghancuran Babel

54 TUHAN berfirman,“Dengarlah tangisan di Babel,orang meratap kerana kemusnahan di negeri itu.

55 Aku sedang memusnahkan Babel,dan menjadikannya lengang.Tentera musuh meluru seperti gelombang yang menderu,dan dengan bertempik mereka menyerbu.

56 Musuh datang untuk memusnahkan Babel;askar-askarnya telah ditangkap,busur mereka telah dipatahkan.Aku, Allah yang menghukum kejahatan;Aku akan memperlakukan Babel setimpal dengan perbuatannya.

57 Aku akan menyebabkan penguasa-penguasanya mabuk -orangnya yang bijaksana, para pemimpinnya, dan askar-askarnya.Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi.Aku, Raja telah berfirman;Akulah TUHAN Yang Maha Kuasa.

58 Tembok kota Babel yang kuat itu akan runtuh ke tanah,pintu-pintu gerbangnya yang tinggi akan dibakar.Usaha bangsa-bangsa semuanya sia-sia,semua itu akhirnya habis terbakar juga.Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.”

Perkhabaran Yeremia Dikirim ke Babilonia

59 Pembantu peribadi kepada Raja Zedekia ialah Seraya anak Neria, cucu Mahseya. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Seraya mengikut raja ke Babilonia. Aku menyuruh dia membawa beberapa pesan.

60 Di dalam sebuah kitab aku mencatat semua kemusnahan yang akan menimpa Babilonia, dan juga semua hal lain tentang negeri itu.

61 Aku berkata kepada Seraya, “Apabila kamu sampai di Babel, usahakanlah supaya semua yang tercatat di dalam kitab ini kamu bacakan kepada orang di sana.

62 Selepas itu berdoalah begini, ‘Ya TUHAN, Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan memusnahkan negeri ini, sehingga tiada makhluk apa pun tinggal di sini - tiada manusia dan tiada binatang. Tempat ini akan menjadi seperti gurun selama-lamanya.’

63 Hai Seraya, setelah kamu selesai membacakan isi kitab ini kepada mereka, ikatkanlah kitab ini pada sebuah batu lalu lemparkanlah kedua-duanya ke dalam Sungai Efrat.

64 Beritahulah mereka bahawa demikianlah kesudahan Babilonia. Babilonia akan tenggelam dan tidak sekali-kali akan timbul lagi, kerana kemusnahan yang akan didatangkan TUHAN atasnya.”Kata-kata Yeremia berakhir di sini.