1 Kemudian semua pemimpin askar, termasuk Yohanan anak Kareah dan Azarya anak Hosaya, datang bersama-sama rakyat daripada semua lapisan masyarakat.
2 Mereka berkata kepadaku, “Tolonglah kabulkan permintaan kami. Berdoalah kepada TUHAN, Allah kita bagi kami. Berdoalah bagi kami semua yang terselamat. Dahulu kami ramai bilangannya, tetapi sekarang lihatlah, bilangan kami tinggal sedikit sahaja.
3 Berdoalah agar TUHAN, Allah kita akan menunjukkan jalan yang harus kami ikut dan apa yang harus kami lakukan.”
4 “Baiklah,” jawabku, “Aku akan berdoa kepada TUHAN, Allah kita menurut permintaan kamu; dan apa pun jawapan-Nya kelak, akan aku sampaikan kepada saudara semua. Aku tidak akan merahsiakan apa-apa pun.”
5 Kemudian mereka berkata kepadaku, “Biarlah TUHAN menjadi saksi yang jujur dan setia terhadap kami jika kami tidak taat kepada perintah yang diberikan TUHAN, Allah kita kepadamu untuk kami.
6 Kami telah minta kamu berdoa kepada TUHAN, Allah kita. Oleh itu baik jawapan-Nya menyenangkan atau tidak, kami akan taat kepada-Nya. Keadaan kami akan menjadi baik jika kami mentaati Dia.”
7 Sepuluh hari kemudian, TUHAN berfirman kepadaku.
8 Oleh itu aku memanggil Yohanan, semua pemimpin askar, dan semua orang lain yang datang bersama-samanya.
9 Aku berkata kepada mereka, “Kamu menyuruh aku menyampaikan permintaan kamu semua kepada TUHAN, Allah Israel. Sekarang inilah firman-Nya,
10 ‘Jika kamu mahu tetap tinggal di negeri ini, Aku akan membangun kamu dan tidak memusnahkan kamu. Aku akan menegakkan kamu dan tidak meruntuhkan kamu. Kemusnahan yang Kutimpakan kepada kamu menyebabkan Aku sangat sedih.
11 Jangan takut lagi akan raja Babilonia. Aku menyertai kamu, dan Aku akan melepaskan kamu daripada kuasanya.
12 Oleh sebab Aku berbelas kasihan, Aku akan menyebabkan dia mengasihani kamu dan membenarkan kamu pulang. Aku, TUHAN, telah berfirman.’
13-15 Tetapi kamu yang masih tinggal di Yehuda mesti taat kepada TUHAN, Allah kamu dan rela tinggal di negeri ini. Kamu tidak boleh berkata, ‘Kami mahu pergi ke Mesir dan tinggal di sana, supaya kami tidak lagi mengalami peperangan, tidak mendengar tiupan trompet yang memanggil untuk berperang dan tidak menderita kebuluran.’ Jika kamu berkata demikian, maka inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, ‘Jika kamu nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana,
16 peperangan dan kebuluran yang kamu takuti itu akan mengejar kamu sampai ke Mesir, dan kamu akan mati di sana.
17 Semua orang yang nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana akan mati dalam peperangan, atau kerana kebuluran, atau wabak. Tiada seorang pun akan hidup atau terlepas daripada bencana yang akan Aku datangkan kepada mereka.’
18 TUHAN, Allah Israel berfirman, ‘Sebagaimana kemurkaan dan berang-Ku telah menimpa penduduk Yerusalem, demikian juga berang-Ku akan menimpa kamu jika kamu pergi ke Mesir. Orang akan ngeri melihat kamu; kamu akan dihina, dan nama kamu akan digunakan sebagai kutuk. Kamu tidak akan melihat negeri ini lagi.’ ”
19 Kemudian aku berkata lagi, “TUHAN telah memberitahu kamu semua yang masih tinggal di Yehuda supaya tidak pergi ke Mesir. Oleh itu aku memperingatkan kamu sekarang,
20 bahawa kamu semua sedang melakukan kesalahan besar. Kamu minta aku berdoa kepada TUHAN, Allah kita, dan kamu berjanji untuk mentaati setiap perintah-Nya.
21 Aku telah menyampaikan firman-Nya kepada kamu semua, tetapi kamu membantah setiap perintah yang aku sampaikan.
22 Oleh itu ingatlah: kamu akan mati dalam peperangan, atau kerana kelaparan, atau wabak di negeri yang ingin kamu tinggal.”