1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Pergilah ke rumah tukang periuk; Aku akan menyampaikan perkhabaran-Ku kepadamu di sana.”
3 Oleh itu aku pergi ke rumah tukang periuk dan aku nampak dia sedang bekerja.
4 Apabila periuk yang sedang dibuatnya itu kurang sempurna, dia membentuknya semula sehingga menjadi periuk lain yang sesuai dengan kehendaknya.
5 Kemudian TUHAN menyuruh aku berkata kepada umat Israel,
6 “Hai umat Israel, tidakkah Aku berhak memperlakukan kamu seperti yang dilakukan tukang periuk itu dengan tanah liatnya? Sebagaimana tanah liat itu dalam tangan tukang periuk, demikian juga kamu dalam tangan-Ku.
7 Jika pada suatu waktu Aku mengambil keputusan untuk mencabut, meruntuhkan, atau menghancurkan suatu bangsa atau kerajaan,
8 tetapi kemudian bangsa itu bertaubat daripada kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu.
9 Sebaliknya, jika Aku mengambil keputusan untuk mendirikan atau menguatkan suatu bangsa atau kerajaan,
10 tetapi kemudian bangsa itu tidak taat kepada-Ku lalu melakukan kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu.
11 Sekarang, beritahulah orang Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa Aku sedang merancang untuk melawan mereka, dan menyediakan hukuman untuk mereka. Suruhlah mereka menghentikan cara hidup yang berdosa, serta mengubah kelakuan dan perbuatan mereka.
12 Tetapi mereka akan menjawab, ‘Apa gunanya? Kami akan tetap degil dan jahat mengikut kemahuan kami!’ ”
13 TUHAN berfirman,“Tanyakanlah kepada setiap bangsasama ada hal seperti ini pernah berlaku.Umat Israel telah melakukan sesuatu yang dahsyat!
14 Salji tidak pernah lenyap dari gunung batu di Lebanon.Air sejuk yang mengalir di pergunungan tidak pernah kering.
15 Tetapi umat-Ku telah melupakan Aku;mereka membakar kemenyan untuk berhala.Mereka tersandung di jalan yang harus dilalui mereka,mereka tidak lagi mengikut jalan dahulu kala;mereka menyimpang ke jalan yang belum diratakan.
16 Mereka menjadikan negeri ini tempat yang mengerikan,sehingga menjadi bahan ejekan selama-lamanya.Semua orang yang melalui negeri ini akan terkejut melihatnya,mereka akan merasa ngeri dan menggelengkan kepala.
17 Aku akan mencerai-beraikan umat-Ku di hadapan musuh,sebagaimana angin timur meniup debu.Aku akan membelakangi mereka;Aku tidak akan menolong mereka apabila bencana tiba.”
18 Kemudian orang berkata, “Marilah kita berpakat melawan Yeremia. Imam yang dapat memberikan ajaran, orang bijaksana yang dapat memberikan nasihat, dan nabi yang dapat menyampaikan perkhabaran Allah akan selalu ada. Marilah kita mengemukakan tuduhan terhadap Yeremia, dan berhenti mendengarkan kata-katanya!”
19 Oleh itu aku berdoa, “Ya TUHAN, dengarlah doaku; perhatikanlah apa yang dikatakan musuhku tentang aku.
20 Wajarkah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Tetapi mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya. Ingatlah bahawa aku telah membela mereka di hadapan-Mu, supaya Engkau tidak murka kepada mereka.
21 Tetapi sekarang, ya TUHAN, biarlah anak-anak mereka mati kelaparan atau terbunuh dalam peperangan. Biarlah kaum wanita mereka kehilangan suami dan anak; biarlah kaum lelaki mati kerana wabak penyakit dan orang muda terbunuh dalam pertempuran.
22 Biarlah perampas datang ke rumah mereka dengan tiba-tiba, sehingga mereka menjerit ketakutan. Mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya, dan mereka telah memasang perangkap untuk menangkap aku.
23 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mengetahui semua yang dirancang oleh mereka untuk membunuh aku; janganlah hapuskan kesalahan mereka, dan janganlah ampunkan dosa mereka. Biarlah mereka kalah. Bertindaklah terhadap mereka semasa Engkau murka.”