1 Raja Zedekia dari Yehuda, mengutus Imam Pasyhur anak Malkia dan Imam Zefanya anak Maaseya, kepadaku. Raja menyuruh mereka menyampaikan permintaan ini kepadaku,
2 “Mintalah petunjuk daripada TUHAN untuk kita, kerana Raja Nebukadnezar dari Babilonia bersama dengan pasukannya, sedang mengepung kota kita. Mungkin TUHAN akan melakukan mukjizat untuk kita, dan memaksa Raja Nebukadnezar berundur.”
3 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, dan aku menyuruh kedua-dua orang utusan itu supaya
4 memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN, Allah Israel, berfirman begini, “Zedekia, Aku akan mengalahkan pasukanmu yang sedang bertempur melawan raja Babilonia dan pasukannya. Aku akan melonggokkan semua senjata tenteramu di tengah-tengah kota.
5 Aku akan memerangi kamu dengan sekuat tenaga dan kemurkaan yang meluap-luap.
6 Aku akan membunuh penduduk kota ini; baik manusia mahupun binatang akan mati kerana wabak penyakit yang dahsyat.
7 Engkau dan para pegawaimu serta semua orang yang terselamat dari peperangan, kebuluran, dan wabak, akan Kubiarkan ditangkap oleh Raja Nebukadnezar dan oleh musuh yang mahu membunuh kamu. Raja Nebukadnezar akan membunuh kamu semua tanpa ampun atau belas kasihan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
8 Kemudian TUHAN menyuruh aku berkata kepada umat-Nya, “Dengarlah! Aku, TUHAN, memberikan pilihan kepada kamu: jalan yang menuju kehidupan, atau jalan yang menuju kematian.
9 Setiap orang yang tinggal di dalam kota akan mati kerana peperangan atau kebuluran atau wabak. Tetapi mereka yang keluar untuk menyerah diri kepada orang Babilonia yang sedang menyerang kota ini akan terselamat dan tidak dibunuh.
10 Aku telah mengambil keputusan untuk menghancurkan kota ini, dan tidak akan menyelamatkannya. Kota ini akan diserahkan kepada raja Babilonia, dan raja itu akan membakarnya sampai habis sama sekali. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
11-12 TUHAN menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada keluarga diraja Yehuda, keturunan Raja Daud, “Dengarkan apa yang Aku, TUHAN, firmankan. Berusahalah supaya keadilan dilakukan setiap hari. Lepaskanlah orang yang ditipu daripada kekuasaan orang yang menipunya. Jika tidak, kejahatan yang kamu lakukan akan menjadikan kemurkaan-Ku menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan.”
13 Kemudian TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Hai Yerusalem! Kamu terletak lebih tinggi daripada lembah-lembah di sekitarmu. Engkau seperti bukit batu menjulang di tanah rata, tetapi Aku akan melawan engkau. Engkau berkata bahawa tiada seorang pun dapat menyerang engkau atau menembusi kubu-kubumu.
14 Tetapi Aku akan menghukum engkau kerana perbuatanmu. Aku akan membakar istanamu, dan segala sesuatu di sekitarnya akan terbakar juga. Aku, TUHAN, telah berfirman.”