Yeremia 35 BM

Yeremia dan Puak Rekhab

1 Ketika Raja Yoyakim putera Raja Yosia menjadi penguasa Yehuda, TUHAN berfirman kepadaku,

2 “Pergilah berkata-kata dengan orang daripada puak Rekhab. Bawalah mereka ke salah satu bilik di Rumah-Ku dan berilah mereka minum wain.”

3 Kemudian aku membawa seluruh puak Rekhab, iaitu Yaazanya (anak seorang yang bernama Yeremia anak Habazinya) bersama-sama semua saudara dan anak lelakinya,

4 pergi ke Rumah TUHAN. Aku membawa mereka ke bilik para pengikut Nabi Hanan anak Yigdalya. Bilik itu di atas bilik Maaseya anak Salum, seorang pegawai tinggi di Rumah TUHAN. Bilik itu juga berdekatan dengan bilik para pegawai lain.

5 Aku menghidangkan wain di dalam cawan dan mangkuk kepada puak Rekhab itu. Aku berkata kepada mereka, “Sila minum wain!”

6 Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak minum wain. Nenek moyang kami, Yonadab anak Rekhab, melarang kami dan keturunan kami daripada minum wain.

7 Dia juga melarang kami membina rumah atau bercucuk tanam, membuka ladang anggur ataupun membelinya. Dia memerintah kami supaya sentiasa tinggal di dalam khemah, supaya kami boleh tinggal di negeri ini sebagai orang asing.

8 Kami telah mematuhi semua perintah Yonadab itu. Baik kami mahupun isteri kami tidak pernah minum wain; demikian juga anak lelaki dan anak perempuan kami.

9-10 Kami tidak membina rumah untuk tempat tinggal; kami tinggal di dalam khemah. Kami tidak mempunyai ladang anggur, ladang atau benih gandum. Kami patuh sepenuhnya kepada apa saja yang diperintahkan oleh nenek moyang kami, Yonadab.

11 Tetapi apabila Raja Nebukadnezar menyerang negeri ini, kami mengambil keputusan untuk datang ke Yerusalem supaya lari daripada tentera Babilonia dan Siria. Itulah sebabnya kami tinggal di Yerusalem.”

12-13 Selepas itu TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem, “Aku, TUHAN, bertanya akan sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Ku dan tidak mahu menurut perintah-Ku.

14 Keturunan Yonadab mentaati perintah Yonadab supaya tidak minum wain. Sehingga hari ini tiada seorang pun antara mereka minum wain. Walaupun Aku terus-menerus berfirman kepada kamu, namun kamu tidak taat kepada-Ku.

15 Aku terus-menerus mengutus semua hamba-Ku, para nabi kepada kamu, dan mereka telah menyuruh kamu meninggalkan perbuatan jahat dan melakukan yang baik. Mereka memperingatkan kamu supaya tidak menyembah ataupun mengabdi kepada tuhan-tuhan lain, agar kamu boleh terus tinggal di negeri yang telah Kuberikan kepada kamu dan nenek moyang kamu. Tetapi kamu tidak mendengarkan ataupun mengendahkan Aku.

16 Keturunan Yonadab mentaati perintah nenek moyang mereka, tetapi kamu tidak taat kepada-Ku.

17 Oleh itu sekarang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan mendatangkan semua bencana yang Aku janjikan itu kepada kamu, penduduk Yehuda dan Yerusalem. Aku akan melakukan hal ini kerana kamu tidak mahu mendengar apabila Aku berfirman, dan kamu tidak mahu menjawab apabila Aku memanggil kamu.”

18 Kemudian Aku memberitahu puak Rekhab, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Kamu telah mentaati perintah nenek moyang kamu Yonadab; kamu telah menurut dan melakukan semua perintahnya.

19 Oleh itu, Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berjanji bahawa Yonadab anak Rekhab akan sentiasa mempunyai keturunan lelaki yang mengabdi kepada-Ku.”