1 Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Amon, “Di manakah kaum lelaki Israel? Tiadakah sesiapa yang membela negerinya? Mengapakah mereka membiarkan bangsa yang menyembah Dewa Milkom merebut dan mendiami wilayah suku Gad?
2 Tetapi akan tiba masanya apabila Aku menyebabkan penduduk ibu kota Raba mendengar bunyi pertempuran, lalu kota itu akan terbiar menjadi runtuhan. Pekan-pekan di sekitarnya akan habis terbakar. Kemudian Israel akan mendapat kembali tanahnya daripada mereka yang telah merebutnya.
3 Hai penduduk Hesybon, menangislah! Kota Ai sudah musnah! Hai kaum wanita kota Raba, berkabunglah! Pakailah kain guni dan berkabunglah. Larilah ke sana ke mari dengan penuh kebingungan. Milkom, dewa kamu akan dibuang negeri bersama dengan para imam dan pegawai pemerintah.
4 Mengapakah kamu berbangga, hai umat yang tidak setia? Lihatlah, kekuatan kamu mula hilang. Mengapakah kamu bersandar kepada kekuatan sendiri dan berkata bahawa tiada sesiapa pun berani menyerang kamu?
5 Aku akan mendatangkan kegentaran kepada kamu dari segala arah. Kamu semua akan lari, masing-masing mencuba menyelamatkan diri. Tiada sesiapa pun akan mengumpulkan pasukan kamu lagi.
6 Tetapi pada kemudian hari, Aku akan menjadikan Amon makmur semula. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
7 Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Edom, “Sudah hilangkah akal budi penduduk Edom? Tidak dapatkah para pemimpin mereka menasihatkan mereka lagi? Sudah lenyapkah kebijaksanaan mereka?
8 Hai penduduk kota Dedan, berpalinglah dan larilah! Bersembunyilah! Aku akan membinasakan keturunan Esau, kerana masanya sudah tiba bagi-Ku untuk menghukum mereka.
9 Apabila orang memetik buah anggur, mereka meninggalkan sedikit buah pada pokok anggur. Apabila pencuri datang pada waktu malam, mereka hanya mengambil apa yang dikehendaki mereka.
10 Tetapi Aku telah mengambil segala keturunan Esau. Aku membongkar tempat-tempat persembunyian mereka, sehingga mereka tidak dapat bersembunyi lagi. Semua penduduk Edom sudah binasa; tiada seorang pun tertinggal.
11 Serahkanlah anak-anak piatu kamu kepada-Ku dan Aku akan memelihara mereka. Balu-balu kamu dapat bersandar kepada-Ku.
12 Orang yang tidak patut dihukum pun kena hukuman. Adakah kamu menyangka bahawa kamu terlepas daripada hukuman? Kamu pasti dihukum!
13 Aku sendiri telah bersumpah bahawa kota Bozra akan menjadi gurun yang mengerikan. Orang akan mentertawakannya dan menggunakan namanya sebagai kutuk. Pekan-pekan di sekitarnya pun akan menjadi runtuhan selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
14 Aku, Yeremia berkata, “Hai Edom, aku telah menerima perkhabaran daripada TUHAN. Dia telah mengutus seorang utusan kepada bangsa-bangsa untuk memberitahu mereka supaya mengumpulkan tentera mereka dan bersiap untuk menyerang kamu.
15 TUHAN akan melemahkan kamu, dan tiada sesiapa pun akan menghormati kamu.
16 Kamu tertipu oleh keangkuhanmu. Tiada sesiapa pun takut akan kamu seperti sangkamu. Kamu tinggal di celah-celah bukit batu, jauh di atas gunung. Tetapi sekalipun kamu membina rumah di tempat yang tinggi sekali, setinggi tempat sarang burung helang, TUHAN akan merendahkan kamu. Demikianlah firman TUHAN.”
17 TUHAN berfirman, “Kemusnahan Edom akan sangat mengerikan sehingga tiap-tiap orang yang lalu di situ akan terkejut dan ketakutan.
18 Sebagaimana Sodom dan Gomora dimusnahkan bersama dengan pekan-pekan di sekitar, begitu juga Edom akan dimusnahkan. Tiada seorang pun akan tinggal di Edom lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman.
19 Sebagaimana singa keluar dari hutan tebal di tepi Sungai Yordan lalu naik ke padang rumput yang hijau, demikianlah Aku akan datang dan menyebabkan orang Edom lari dengan tiba-tiba dari negeri mereka. Selepas itu pemimpin yang Aku pilih akan memerintah negeri itu. Siapakah yang setara dengan Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Penguasa manakah yang sanggup menentang Aku?
20 Oleh itu dengarlah rancangan-Ku untuk menentang penduduk Edom, dan rancangan-Ku bagi penduduk kota Teman. Anak-anak mereka pun akan diseret pergi, dan semua orang akan ketakutan.
21 Apabila Edom jatuh, bunyinya begitu kuat sehingga seluruh bumi goncang, dan teriakan penduduknya akan terdengar sampai ke Teluk Akaba.
22 Musuh akan menyerang Bozra seperti burung helang yang menyambar dengan sayap terkembang. Pada hari itu askar-askar Edom akan ketakutan seperti wanita yang sedang bersalin.”
23 Demikianlah firman TUHAN tentang kota Damsyik, “Penduduk kota Hamat dan Arpad khuatir serta gelisah kerana mereka telah mendengar berita buruk. Hati mereka risau dan kegelisahan melanda mereka seperti gelombang laut.
24 Penduduk Damsyik tidak berdaya dan telah lari ketakutan. Mereka sakit dan menderita seperti wanita yang sedang bersalin.
25 Kota termasyhur yang biasanya penuh kegembiraan, kini lengang dan tidak berpenghuni.
26 Pada hari itu kaum pemudanya akan dibunuh di jalan raya, dan semua askarnya dibinasakan.
27 Aku akan membakar tembok Damsyik dan menghanguskan istana-istana Raja Benhadad. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.”
28 Demikianlah firman TUHAN tentang suku Kedar dan daerah-daerah yang diperintah oleh Hazor, iaitu daerah-daerah yang telah dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, “Seranglah suku Kedar, dan binasakanlah orang dari bahagian timur!
29 Rampaslah semua khemah dan ternakan mereka, tirai khemah dan apa sahaja yang ada di dalam khemah. Rampaslah unta mereka dan beritahulah mereka, ‘Kegentaran mengelilingi kamu!’
30 Hai penduduk kota Hazor, Aku, TUHAN, memberikan amaran kepada kamu: Larilah jauh-jauh dan bersembunyilah. Raja Nebukadnezar dari Babilonia, telah merancang untuk melawan kamu. Raja itu bertitah,
31 ‘Marilah kita serang orang yang berasa aman dan selamat! Kota mereka sama sekali tidak dilindungi kerana tidak mempunyai pintu gerbang ataupun palang pintu.’
32 Rampaslah unta dan semua ternakan mereka! Aku akan mencerai-beraikan semua orang yang memendekkan rambut mereka. Aku akan mendatangkan bencana kepada mereka dari segala arah.
33 Hazor akan dijadikan gurun selama-lamanya, tempat yang hanya didiami serigala. Tiada sesiapa pun akan tinggal di situ lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
34 Tidak lama selepas Raja Zedekia menjadi raja Yehuda, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman tentang Elam kepadaku.
35 Dia berfirman, “Aku akan membunuh semua anggota pasukan pemanah Elam, kerana merekalah yang menjadikan Elam sangat kuat.
36 Aku akan menyebabkan angin dari segala arah meniupkan Elam, dan Aku akan mencerai-beraikan penduduknya sehingga tiada satu negeri pun yang tidak didatangi pelarian dari Elam.
37 Aku akan menyebabkan penduduk Elam takut kepada musuh yang hendak membunuh mereka. Aku sangat murka kepada penduduk Elam dan akan membinasakan mereka. Aku akan mengirim tentera yang memerangi mereka, sehingga Aku menghapuskan mereka sama sekali.
38 Aku akan membinasakan raja-raja dan pemimpin-pemimpin mereka, lalu mendirikan takhta-Ku di negeri itu.
39 Tetapi kemudian Aku akan menjadikan penduduk Elam makmur semula. Aku, TUHAN, telah berfirman.”