Yeremia 11:4-10 BM

4 Aku telah membuat perjanjian itu dengan nenek moyang mereka apabila Aku memimpin mereka keluar dari Mesir, negeri yang seperti neraka bagi mereka. Aku menyuruh mereka taat kepada-Ku dan melakukan segala yang telah Kuperintahkan. Aku memberitahu mereka bahawa jika mereka taat kepada-Ku, mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka.

5 Jika mereka melakukan semuanya, Aku akan menepati janji-Ku kepada nenek moyang mereka bahawa negeri yang subur dan makmur, yang sekarang didiami oleh mereka, akan Kuberikan kepada mereka.”Aku menjawab, “Baiklah, TUHAN.”

6 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah ke kota-kota di Yehuda dan ke jalan-jalan di Yerusalem. Isytiharkanlah perkhabaran-Ku kepada orang di sana dan suruh mereka memperhatikan serta mentaati syarat-syarat perjanjian.

7 Ketika Aku memimpin nenek moyang mereka keluar dari Mesir, dengan tegas Aku memperingatkan mereka supaya taat kepada-Ku. Sampai hari ini pun Aku masih memperingatkan umat-Ku tentang hal itu,

8 tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu taat. Malahan mereka tetap degil dan jahat seperti dahulu. Aku telah memerintahkan mereka mentaati perjanjian, tetapi mereka tidak mahu. Oleh itu, Aku menimpai mereka segala hukuman yang disebut dalam perjanjian itu.”

9 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Penduduk Yehuda dan Yerusalem telah berkomplot untuk melawan Aku.

10 Mereka telah melakukan dosa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka yang tidak mahu taat kepada-Ku; mereka menyembah tuhan-tuhan lain. Baik Israel mahupun Yehuda telah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka.