14 Aku akan menjadikan mereka hamba kepada musuh di negeri asing yang tidak dikenal oleh mereka, kerana kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala selama-lamanya.”
15 Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN, Engkau faham segala-galanya. Ingatlah akan aku dan tolonglah aku. Balaslah mereka yang menganiaya aku. Jangan bersabar terhadap mereka sehingga mereka berjaya membunuh aku. Ingatlah bahawa aku dihina kerana Engkau.
16 Engkau berfirman kepadaku, dan aku mendengarkan setiap firman-Mu. Aku milik-Mu, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa; oleh itu firman-Mu memberikan kesukaan dan kebahagiaan kepadaku.
17 Aku tidak ikut bersuka-suka dengan orang yang berkumpul untuk bersenda gurau. Oleh sebab aku taat kepada-Mu, aku mengasingkan diri dan aku penuh dengan kemarahan.
18 Mengapa aku terus saja menderita? Mengapa lukaku parah dan tidak sembuh-sembuh? Adakah Engkau bermaksud mengecewakan aku seperti sungai yang mengering pada musim panas?”
19 Maka TUHAN menjawab, “Jika engkau kembali, Aku akan menerima engkau. Engkau akan menjadi hamba-Ku lagi. Jika engkau memberitakan perkhabaran yang berguna dan bukan yang sia-sia, engkau akan menjadi nabi-Ku semula. Orang akan datang kepadamu lagi, dan engkau tidak perlu pergi kepada mereka.
20 Aku akan menjadikan engkau seperti tembok gangsa terhadap mereka. Mereka akan melawan engkau, tetapi tidak akan dapat mengalahkan engkau. Aku akan menyertai engkau untuk melindungi dan menyelamatkan engkau.