Yeremia 16:10-16 BM

10 Apabila engkau menyampaikan semua hal ini kepada mereka, mereka akan bertanya sebabnya Aku mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan begitu keras. Mereka akan bertanya tentang kesalahan dan dosa mereka terhadap Aku, TUHAN Allah mereka.

11 Beritahulah mereka bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Nenek moyang kamu berpaling daripada-Ku lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka meninggalkan Aku dan tidak mahu taat kepada peraturan-Ku.

12 Tetapi perbuatan kamu lebih jahat daripada perbuatan nenek moyang kamu. Kamu semua degil dan jahat. Kamu tidak mahu taat kepada-Ku.

13 Oleh itu, Aku akan mengusir kamu dari negeri ini dan membuang kamu ke sebuah negeri yang asing sekali bagi kamu dan bagi nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain pada siang dan malam, dan Aku tidak akan mengasihani kamu.’ ”

14 TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila orang tidak lagi bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari Mesir.

15 Tetapi mereka akan bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari sebuah negeri di utara dan dari semua negeri lain, tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tanah air mereka, negeri yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

16 TUHAN berfirman, “Aku akan memanggil banyak nelayan untuk menangkap bangsa ini. Kemudian Aku akan memanggil banyak pemburu untuk memburu mereka di setiap gunung dan bukit, serta di gua-gua bukit batu.