1 TUHAN berfirman, “Hai bangsa Yehuda, dosa kamu telah ditulis dengan pen besi; dosa kamu itu diukir pada hati kamu dengan mata pen intan, dan dipahatkan pada setiap sudut mazbah-mazbah kamu.
2 Bangsa kamu memuja berhala di mazbah-mazbah dan tiang-tiang berhala yang telah didirikan untuk Dewi Asyera di bawah setiap pokok hijau, di puncak-puncak bukit,
3 dan di atas gunung-gunung di luar kota. Aku akan menyuruh musuh kamu mengangkut segala harta dan kekayaan kamu, kerana segala dosa yang telah kamu lakukan di seluruh negeri.
4 Kamu akan terpaksa menyerahkan tanah yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku akan menjadikan kamu hamba musuh di negeri yang asing sekali bagi kamu. Aku melakukan semua itu kerana kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala selama-lamanya.”