Yeremia 18:17-23 BM

17 Aku akan mencerai-beraikan umat-Ku di hadapan musuh,sebagaimana angin timur meniup debu.Aku akan membelakangi mereka;Aku tidak akan menolong mereka apabila bencana tiba.”

18 Kemudian orang berkata, “Marilah kita berpakat melawan Yeremia. Imam yang dapat memberikan ajaran, orang bijaksana yang dapat memberikan nasihat, dan nabi yang dapat menyampaikan perkhabaran Allah akan selalu ada. Marilah kita mengemukakan tuduhan terhadap Yeremia, dan berhenti mendengarkan kata-katanya!”

19 Oleh itu aku berdoa, “Ya TUHAN, dengarlah doaku; perhatikanlah apa yang dikatakan musuhku tentang aku.

20 Wajarkah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Tetapi mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya. Ingatlah bahawa aku telah membela mereka di hadapan-Mu, supaya Engkau tidak murka kepada mereka.

21 Tetapi sekarang, ya TUHAN, biarlah anak-anak mereka mati kelaparan atau terbunuh dalam peperangan. Biarlah kaum wanita mereka kehilangan suami dan anak; biarlah kaum lelaki mati kerana wabak penyakit dan orang muda terbunuh dalam pertempuran.

22 Biarlah perampas datang ke rumah mereka dengan tiba-tiba, sehingga mereka menjerit ketakutan. Mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya, dan mereka telah memasang perangkap untuk menangkap aku.

23 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mengetahui semua yang dirancang oleh mereka untuk membunuh aku; janganlah hapuskan kesalahan mereka, dan janganlah ampunkan dosa mereka. Biarlah mereka kalah. Bertindaklah terhadap mereka semasa Engkau murka.”