11 Aku harus memberitahu mereka bahawa inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Aku akan menghancurkan bangsa dan kota ini sehingga menjadi seperti kendi tembikar yang pecah itu dan tidak dapat diperbaiki lagi. Orang akan menguburkan mayat bahkan di Tofet, kerana tiada lagi tempat lain.
12 Aku berjanji akan menjadikan kota ini dan penduduknya seperti Tofet.
13 Semua rumah di Yerusalem dan semua rumah raja-raja Yehuda akan menjadi najis seperti Tofet, kerana di bumbung rumah, orang telah membakar kemenyan untuk dewa-dewa langit dan mempersembahkan wain untuk dewa-dewa lain.”
14 Kemudian aku meninggalkan Tofet, tempat TUHAN menyuruh aku untuk menyampaikan perkhabaran-Nya. Aku pergi ke halaman Rumah TUHAN dan berdiri di situ, lalu memberitahu semua orang,
15 bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman begini, “Oleh sebab kamu degil dan tidak mahu mendengar firman-Ku, maka Aku akan mendatangkan segala hukuman yang telah Kurancangkan ke atas kota ini dan ke atas semua pekan di sekitarnya.”