Yeremia 19:3-9 BM

3 TUHAN menyuruh aku berkata begini, “Hai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem! Dengarlah apa yang hendak Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, firmankan kepada kamu. Aku akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat ke tempat ini sehingga orang yang mendengarnya terpegun.

4 Aku akan melakukan hal itu kerana bangsa ini telah meninggalkan Aku. Mereka menajiskan tempat ini dengan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa yang asing bagi mereka, nenek moyang mereka, dan raja-raja Yehuda. Mereka telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah.

5 Mereka mendirikan mazbah bagi Baal supaya mereka dapat mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar. Tetapi Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul dalam fikiran-Ku.

6 Oleh sebab itu, akan tiba masanya tempat ini tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan disebut Lembah Pembantaian.

7 Di tempat ini Aku akan menggagalkan semua rancangan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem. Aku akan membiarkan mereka dikalahkan oleh musuh dan dibunuh dalam pertempuran. Aku akan membiarkan mayat mereka dimakan burung dan binatang buas.

8 Aku akan menimpakan malapetaka yang dahsyat pada kota ini sehingga setiap orang yang lalu di sini akan terpegun dan berasa ngeri.

9 Musuh akan mengepung kota ini dan berusaha untuk membunuh penduduknya. Pengepungan itu begitu dahsyat sehingga orang di dalam kota ini akan saling memakan temannya, bahkan anak-anak mereka sendiri.”