Yeremia 25:15-28 BM

15 TUHAN, Allah Israel berfirman kepadaku, “Inilah cawan wain yang telah diisi dengan kemurkaan-Ku. Bawalah cawan ini kepada semua bangsa, dan suruhlah mereka minum dari cawan ini. Aku mengutus engkau kepada mereka.

16 Apabila mereka minum dari cawan ini, mereka akan terhuyung-hayang dan hilang akal kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka.”

17 Oleh itu aku mengambil cawan itu dari tangan TUHAN, lalu pergi kepada semua bangsa; TUHAN telah mengutus aku kepada mereka. Kemudian aku memberi mereka minum dari cawan itu.

18 Yerusalem dan semua kota di Yehuda, bersama dengan raja-raja dan para pemimpin mereka, disuruh minum daripada cawan itu sehingga mereka menjadi seperti gurun yang mengerikan. Nama mereka akan digunakan sebagai kutuk, seperti yang berlaku sampai hari ini.

19-26 Inilah senarai nama orang lain yang harus minum dari cawan itu:raja Mesir, para pegawai dan pemimpinnya;semua orang Mesir dan semua bangsa asing di Mesir;semua raja di tanah Us;semua raja Filistin di kota Askelon, Gaza, Ekron, dan orang yang masih hidup di Asdod;semua orang Edom, Moab, dan Amon;semua raja di Tirus dan Sidon;semua raja di kawasan pantai Laut Tengah;kota Dedan, Tema, dan Bus;semua orang yang memendekkan rambut mereka;semua raja Arab;semua raja suku yang tinggal di gurun;semua raja di Zimri, Elam, dan Madai;semua raja di utara, jauh dan dekat, seorang demi seorang.Semua bangsa di seluruh muka bumi mesti minum dari cawan itu. Orang terakhir yang mesti minum dari cawan itu ialah raja Babilonia.

27 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Beritahulah semua orang itu bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan mereka minum sampai mabuk dan muntah. Mereka akan jatuh dan tidak dapat bangun lagi kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka.

28 Jika mereka tidak mahu mengambil cawan itu dari tanganmu dan tidak meminumnya, beritahulah mereka bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman bahawa mereka tetap diwajibkan minum dari cawan itu.