1 Tidak lama selepas Raja Zedekia putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda, TUHAN menyuruh aku
2 membuat tali daripada kulit dan membuat kok daripada kayu, lalu memasangnya di tengkukku.
3 Kemudian TUHAN menyuruh aku menyampaikan perkhabaran kepada raja Edom, Moab, Amon, Tirus, dan Sidon, dengan perantaraan para utusan mereka yang telah datang ke Yerusalem untuk menghadap Raja Zedekia.
4 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, menyuruh aku memerintahkan mereka untuk memberitahu raja-raja mereka firman TUHAN ini,
5 “Dengan kuasa-Ku yang besar dan dengan kekuatan-Ku, Aku telah menciptakan dunia, manusia, dan semua binatang di bumi; Aku dapat memberikan semua itu kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.
6 Akulah yang telah menyerahkan semua bangsa ini ke bawah kekuasaan hamba-Ku, Nebukadnezar, raja Babilonia. Bahkan binatang liar pun telah Kuserah kepadanya untuk dikuasai.
7 Semua bangsa akan mengabdi kepada Raja Nebukadnezar, putera, dan cucunya sampai masa negerinya sendiri jatuh. Pada masa itu bangsa Babilonia akan mengabdi kepada bangsa-bangsa yang kuat dan raja-raja yang besar.